Tuduhan Bankrap Satu Penghinaan Kepada Felda - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 3 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JERANTUT: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata tuduhan kononnya Felda telah bankrap bukan sahaja satu pendustaan, malah satu penghinaan kepada seluruh warga peneroka di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata tuduhan itu juga satu pendustaan besar kepada institusi berkenaan yang dilihat telah banyak berjasa kepada masyarakat luar bandar dan orang Melayu di negara ini.

"Rata-rata peneroka mencurahkan rasa marah bahawa mereka menganggap ini satu penghinaan kepada institusi yang disayangi mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno bahagian Jerantut, di sini.

Najib menegaskan Felda tidak pernah bankrap sebaliknya akan terus membangunkan masyarakat peneroka termasuk generasi kedua dan ketiganya.

Lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), `Suara Keadilan' dalam keluaran 21 hingga 29 Jun 2010 telah menyiarkan berita berunsur fitnah bertajuk `Felda Bangkrap.'

Berikutan penyiaran laporan itu, Felda menuntut ganti rugi sebanyak RM200 juta serta permohonan maaf daripada PKR.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar berkenaan yang tamat semalam.

Najib berkata tindakan PKR itu dilihat sebagai satu usaha pihak pembangkang untuk menghancurkan Felda yang dilihat telah berjaya membangunkan ekonomi orang Melayu sejak 50 tahun lepas.

Katanya, sejak 50 tahun lepas, Felda telah merangka pelbagai program membangunkan golongan peneroka dan anak-anak mereka dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan kemahiran.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sentiasa meneliti pengurusan aset Felda secara sistematik supaya matlamat membangunkan peneroka tidak pernah tersasar.

"Kita (kerajaan) sentiasa meneliti asetnya betul-betul. Kita ada bermacam-macam program untuk membangunkan peneroka," katanya.

Najib berkata beliau akan memberikan penjelasan lebih jelas berkenaan kedudukan Felda pada sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 7 Julai ini.

"Saya akan terangkan pada hari peneroka nanti. Hari ini saya simpan sikit. Saya tunggu pada Hari Peneroka pada 7 Julai nanti, apakah jasa, aset dan program yang dijalankan Felda," katanya.

Ditanya mengenai tindakan KDN yang tidak memperbaharui permit Suara Keadilan itu: "Kita ada undang-undang, saya serah kepada pihak berkuasa untuk buat pertimbangan sewajarnya." - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan