SPRM Ambil Tindakan Betul Tidak Ke London - Megat Najmuddin

Diterbitkan: Sabtu, 3 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat keputusan yang betul apabila membatalkan rancangan pergi ke London untuk merekodkan keterangan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, kata Anggota Jawatankuasa Penasihat SPRM Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

Beliau berkata Balasubramaniam sepatutnya pulang dan memberikan keterangan secara sukarela kepada pihak berkuasa berhubung pembunuhan model wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Saya berasa sedih. Perkara ini telah bertukar menjadi permainan politik. Sangat tidak munasabah untuk ke sana. Proses ini akan melibatkan kos yang tinggi dan ini membazirkan wang pembayar cukai," kata beliau.

"Memanglah, kita tidak boleh memaksa beliau balik ke sini tetapi lebih baik dia balik dan memberikan keterangannya secara sukarela. Jangan bermain-main lagi," katanya.

Megat Najmuddin, yang juga Presiden Institut Tadbir Urus Korporat, yakin kerajaan akan memberikan perlindungan sewajarnya kepada Balasubramaniam.

Megat Najmuddin juga meminta parti-parti politik berhenti menggunakan isu agensi penguatkuasaan untuk kepentingan mereka.

"Undang-undang dan peraturan seharusnya tidak dikompromi. Agensi-agensi penguatkuasa perlu mengelakkan perkara ini," katanya.

Balasubramaniam menimbulkan kontroversi apabila beliau tiba-tiba muncul pada 3 Julai, 2008 dan mengumumkan bahawa dia akan mengumumkan afidavit bersumpah tentang pembunuhan Altantuya.

Namun, keesokkannya dia menarik balik menerusi afidavit bersumpah kedua pada satu sidang akhbar sebelum menghilangkan diri bersama keluarganya.

Semalam, Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali berkata SPRM telah mengirim soalan-soalan kepada peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu, menerusi kurier.

Beliau berkata Americk bersetuju untuk menghantar jawapan kepada SPRM dengan segera.

"Peguam Balasubramaniam, melalui e-mel, pada Khamis bersetuju untuk mengemukakan soalan-soalan kepadanya dan turut bersetuju supaya ia dihantar melalui kurier," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan