Ahmad Said Tegur Wakil Rakyat Tunjuk Muka Lima Tahun Sekali

Diterbitkan: Sabtu, 3 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Menteri Besar Datuk Ahmad Said menegur sikap segelintir wakil rakyat di Terengganu yang jarang turun padang untuk meninjau permasalahan rakyat dan hanya menunjukkan muka apabila tiba musim pilihan raya.

Beliau berkata, sikap seperti itu bukan hanya merugikan wakil rakyat itu sendiri selain tempiasnya akan turut dirasai oleh Umno dan Barisan Nasional khasnya apabila tiba masa pilihan raya kelak.

"Setiap wakil rakyat di negeri ini nafasnya bergantung kepada ahli dan pengundi. Jangan jadi wakil rakyat yang hanya tahu menunjuk muka 10 hari semasa kempen pilihan raya tetapi hilang dalam tempoh lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kemaman hari ini yang dirasmikan oleh Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Persidangan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad berkata, setiap wakil rakyat di negeri ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk membantu permasalahan rakyat di kawasan mereka termasuk untuk bantuan am dan program keagamaan.

"Jika saya sendiri boleh berdiri enam jam semata-mata untuk menyampaikan e-Book kepada murid sekolah dan luang masa sehingga 12 malam untuk sehari bersama rakyat, saya tidak nampak kenapa wakil rakyat tidak boleh berbuat demikian termasuk luang masa di masjid untuk sembahyang jemaah bersama rakyat," katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menggesa wakil rakyat supaya berusaha lebih keras untuk memastikan sasaran 60 peratus daripada ahli Umno di kawasan mereka mendaftar sebagai pengundi dicapai.

Katanya, ia bagi memastikan wakil rakyat serta parti mampu menang dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan