Pegawai Penyiasat SPRM Profesinal - ADUN PKR

Diterbitkan: Jumaat, 2 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafei hari ini mengakui beliau telah disoal siasat secara professional tanpa sebarang tekanan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika tampil memberikan keterangan berhubung skandal pasir di negeri itu semalam.

“Tidak ada unsur-unsur keterlaluan digunakan. Saya 99 peratus berpuas hati dengan kaedah pengendalian siasatan yang dijalankan.

“Saya mula memberikan keterangan bermula daripada pukul 3.10 petang hingga 7.25 malam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (BBC) Selangor di Bangunan Setiuasaha Kerajaan Negeri hari ini.

Menurut Shuhaimi, beliau telah memberikan kenyataan secara jujur dan beradap ketika proses merakamkan percakapannya dijalankan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam.

Ditanya mengapa beliau dipanggil untuk memberikan keterangan, Shuhaimi berkata: “Maaf, saya tidak boleh komen perkara itu kerana siasatan masih dijalankan.”

Bagaimanapun, Shuhaimi yang juga ahli BBC Selangor mendakwa beliau akan dipanggil untuk memberi keterangan lanjut kepada SPRM Isnin ini.

"Saya diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 2 petang Isnin ini kerana mereka masih belum selesai merakamkan kenyataan saya," katanya.

Semalam, dua ADUN terbabit hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan mengenai kes yang dipercayai membabitkan aktiviti perlombongan pasir di negeri tersebut.

Semalam, Shuhaimi dan ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dilihat memasuki ibu pejabat suruhanjaya itu pada pukul 3 petang dengan kehadiran kira-kira 40 penyokong parti tersebut yang memenuhi pekarangan bangunan berkenaan.

Difahamkan salah seorang ADUN tersebut disoal siasat berhubung aktivitinya dalam perlombongan pasir manakala seorang lagi membabitkan sebuah syarikat pasir yang beroperasi di Selangor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan