Mahkamah Bersidang 8.30 Pagi, Banyak Respon Negatif

Diterbitkan: Khamis, 1 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hari pertama mahkamah bersidang pukul 8.30 pagi nampaknya gagal mendapat respon positif di kalangan pengamal undang-undang seperti peguam dan timbalan pendakwa raya (DPP).

Orang ramai yang berurusan di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini pula, kebanyakannya langsung tidak menyedari terdapat perubahan waktu persidangan di Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memulakan rutin harian masing-masing tepat 9 pagi.

Setiausaha Majlis Peguam George Varghese berkata walaupun tidak bersetuju dengan waktu operasi baru mahkamah, pihaknya telah mengeluarkan satu pekeliling kepada kira-kira 13,000 anggotanya memaklumkan mengenai perkara itu.

Beliau berkata Majlis Peguam telah membangkitkan dua perkara berhubung waktu operasi baru mahkamah itu dua minggu lepas ketika bertemu Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.

"Pertama, peguam serta DPP terpaksa memulakan perjalanan mereka lebih awal, ataupun sehari sebelum kes masing-masing kerana ada di antara mereka yang mengendalikan kes di luar daerah ataupun negeri, dan ini melibatkan kos yang lebih tinggi kepada litigan," katanya.

Kedua, katanya, pihak penjara dan polis terpaksa berhadapan masalah logistik kerana secara umumnya, mereka perlu bangun seawal 4.30 pagi dan waktu baru mungkin akan merumitkan lagi keadaan.

Bagaimanapun, beliau berkata Zaki meminta waktu operasi baru mahkamah itu diberikan tempoh percubaan selama tiga bulan kerana surat pekeliling berhubung perkara itu telah dikeluarkan.

Varghese berkata dalam tempoh itu, pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada semua anggota Majlis Peguam di seluruh negara dan dijangka bertemu semula dengan Zaki untuk memberikan pandangan mereka.

Mengikut surat pekeliling bertarikh 26 April 2010 yang dikeluarkan oleh pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Tun Zaki telah mengarahkan ketiga-tiga mahkamah memulakan persidangan pukul 8.30 pagi yang berkuatkuasa hari ini.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan masih bersidang pada jam 9 pagi.

Bagi suri rumah Zaiton Atan ,27, yang hadir pada sesi perbicaraan kes suaminya di Mahkamah Majistret di sini, perubahan waktu bersidang itu menyukarkan dirinya kerana terpaksa keluar awal dari rumah dan berdepan kesesakan jalan raya.

"Bayangkan saya, suami dan anak datang ke mahkamah menaiki bas, adakalanya teksi, maklumlah orang susah. Hari ini, walaupun dah bertolak dari rumah jam 7 pagi, kami sampai ke mahkamah pukul 8.45 pagi, itu pun sudah kena tegur sebab lewat," katanya yang tinggal di Kayu Ara, Damansara.

Pandangan sama turut dilontarkan oleh pesara Pilus Mohamed, 63, yang mempersoalkan kewajaran mahkamah memulakan sesi persidangan setengah jam lebih awal berbanding sebelumnya .

"Adakah dengan bermula sidang seawal pukul 8.30 pagi, boleh menyelesaikan semua kes dengan lebih cepat, atau mahu menyusahkan orang ramai?," katanya.

Beliau yang tingal di Kuala Pilah, Negeri Sembilan terpaksa melakukan perjalanan jauh bagi mengikuti sesi perbicaraan kes anak saudaranya.

"Bayangkan betapa jauhnya jarak tempat tinggal kami dengan mahkamah ini, mujur saya ada saudara yang tinggal di Pantai Dalam. Kami menumpang tinggal di rumahnya, kalau tidak, kami terpaksa menyewa di hotel bajet," katanya.

Kesukaran serupa turut dialami seorang penyambut tetamu Norina Abu, 23, yang berkata perubahan waktu operasi mahkamah itu memandangkan faktor kesesakan jalan raya yang luar biasa di sekitar Kuala Lumpur.

"Biasanya waktu pagi, kebanyakan mereka akan bergegas ke merata tempat seperti menghantar anak ke sekolah, pejabat dan sebagainya ,yang membuatkan jalan sibuk, jadi, agak sukar untuk tiba awal di mahkamah," katanya.

Situasi berbeza dihadapi seorang DPP kanan yang enggan dikenali, kerana katanya, beliau sudah berada di Mahkamah Tinggi tepat 8.30 pagi ini, tetapi mahkamah pula tidak bersedia untuk bersidang pada waktu berkenaan.

"Perkara ini berlaku hampir di semua Mahkamah Tinggi Jenayah pagi ini, dan kebanyakan mahkamah hanya bersidang antara 9 hingga 9.15 pagi tadi," katanya.

Peguam N. Subramaniam pula berkata, beliau tiba di mahkamah tepat pukul 8.30 pagi tetapi mendapati pintu masih berkunci, manakala Majistret bertugas terpaksa meminta bantuan seorang jurubahasa sebelum bersidang pada 8.45 pagi. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan