Jadikan Basmi Kemiskinan Sebagai Jihad Ummah - Raja Nazrin

Diterbitkan: Khamis, 1 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah agar semua pihak mengetepikan fahaman politik dan bersatu menjadikan perjuangan membasmi kemiskinan pada kalangan ummah sebagai jihad.

Baginda bertitah ini kerana kemiskinan mencetuskan pelbagai masalah lain seperti kemiskinan budaya dan moral pada kalangan masyarakat.

"Memerangi kemiskinan bukan sekadar fardu kifayah, tetapi wajib dijadikan satu jihad ummah.

"Untuk itu ummah wajib bersatu tanpa mengira fahaman dan aliran politik, melaksanakan satu tanggungjawab penting membela ummah iaitu memerangi kemiskinan," titah baginda pada persidangan ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), di sini hari ini.

Sebagai salah satu usaha membasmi kemiskinan, baginda mencadangkan kaedah pemberian zakat sekarang diteliti semula agar ia dapat memberi impak kepada penerima.

"Cara pengagihan zakat berbentuk 'fire fighting' atau 'ad hoc' mungkin tidak lagi sesuai bagi menangani cabaran di era ini kerana api kemiskinan bukan sahaja tidak dapat dipadamkan malah merebak dengan lebih besar hingga memusnahkan nilai masyarakat," titah baginda.

Baginda juga bertitah agar kerajaan meneliti penyebab sebenar kepada masalah keruntuhan moral yang melanda negara sekarang.

Ini kerana titah Raja Nazrin, penyelesaian yang diambil sekarang jelas tidak menangani masalah sebaliknya menimbulkan masalah lain termasuk meningkatkan perbelanjaan negara.

"Formula penyelesaian lebih bercorak struktural dan birokrasi, meletakkan tanggung jawab kepada agensi dan organisasi yang tertakluk kepada bajet kewangan serta pengaruh, keutamaan dan kesungguhan politik.

"Lalu berlakulah keadaan lebih banyak organisasi dituntut untuk ditubuhkan dan lebih banyak jawatan pegawai agama dan pegawai sosial diwujudkan, mengakibatkan keperluan tambahan belanja operasi negara, tetapi masalah terus membesar disusuli pula dengan birokrasi yang bertambah besar dan belanja operasi yang bertambah besar," titah Raja Nazrin.

Titah baginda, masyarakat juga seolah lupa kepada institusi kekeluargaan dan kejiranan yang merupakan tiang utama dalam pembentukan nilai dan moral yang positif.

Baginda turut bertitah mengucapkan takziah kepada Datin Fatimah Mohd Rashid iaitu balu kepada bekas Datuk Bandar Ipoh yang kedua Allahyarham Datuk Ismail Shah Bodin yang meninggal dunia pada Sabtu lepas.

"Datuk Ismail adalah ahli majlis yang telah memenuhi peranan secara komited dan tekun kepada aktiviti-aktiviti majlis.

"Datuk Ismail telah mencatatkan rekod perkhidmatan yang menjadi contoh sebutan sebagai seorang yang tekun, berdisiplin, berdedikasi, jujur dan tegas dalam melaksanakan setiap tanggung jawab yang diamanahkan," titah baginda.

Terdahulu baginda menyampaikan watikah pelantikan anggota MAIAMP, penyelaras masjid daerah dan cek bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat dan Tadika Islam negeri Perak. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan