Isu Kewajaran UPSR, PMR Diputuskan Tahun Ini - Muhyiddin

Diterbitkan: Khamis, 1 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan bahawa keputusan sekiranya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) wajar dimansuhkan, dibuat pada tahun ini juga.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusannya akan dibuat dalam masa satu atau dua bulan selepas tamat beberapa siri perbincangan meja bulat dengan pihak berkepentingan, yang dirancang dalam masa terdekat.

"Kita akan buat keputusan cepat, saya sudah minta Ketua Pengarah Pelajaran susun beberapa siri perbincangan di peringkat meja bulat, pihak-pihak yang ada kepentingan dipelawa untuk beri pandangan walaupun kita dah buat kajian lama mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan itu juga bertujuan mendapatkan input lebih terperinci di samping memberikan gambaran lebih jelas sebelum keputusan mengenainya diambil.

Katanya maklum balas yang diterima sehingga ini khususnya menerusi media amat menggalakkan serta positif, dan segala input serta maklum balas itu akan diambil kira sewaktu sesi perbincangan meja bulat di kementerian nanti.

"Hari ini pun saya buka suratkhabar masih ada pandangan-pandangan bukan sahaja dari rakyat biasa tetapi juga dari mereka yang pakar dalam bidang pendidikan, dan beberapa pandangan agak bernas," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata rakyat masih boleh memberikan pandangan tetapi tidak perlu untuk berdebat panjang hingga boleh mencetuskan pelbagai kontroversi.

Mengenai Program Permata Negara yang akan diambil alih pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran mulai 2012, Muhyiddin berkata pihak kementerian sedang membuat persiapan rapi.

"Apa yang penting ialah bagaimana hendak urus program seperti itu yang memerlukan satu bentuk latihan yang agak istimewa, kerana hendak jaga anak-anak yang masih kecil lebih sukar," katanya.

"Cara pembelajaran dan penyampaian pun tidak boleh macam biasa, ia lebih dalam bentuk mainan, mungkin menyanyi... bimbingan itu agak berbeza sekali dan memerlukan guru yang tidak serupa (dengan yang biasa)," tambahnya.

Ketika ditanya mengenai pelajar perempuan yang dilihat terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011 yang akan mendaftar pada Sabtu dan Ahad ini, Muhyiddin berkata ia merupakan fenomena global dan rakyat tidak perlu gusar tentang pencapaian wanita.

"Saya fikir pejuang-pejuang gender wanita pastinya berbangga dengan pencapaian wanita yang cemerlang dalam bidang pendidikan, apa yang penting adalah bagaimana hendak tingkatkan prestasi pelajar lelaki," katanya.

Beliau berkata kementerian akan mengkaji cara untuk meningkatkan pencapaian pelajar lelaki. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan