Buli Di Sekolah Agama Perkara Lumrah - Bekas Pelajar

Diterbitkan: Khamis, 1 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khairol Ikram Salamat
Khairol Ikram Salamat

PETALING JAYA: Membuli pelajar-pelajar tingkatan satu termasuk diminta menjadi “tukang cuci pakaian pelajar senior” di sekolah-sekolah agama berasrama penuh termasuk di kalangan pelajar perempuan adalah satu perkara lumrah, demikian pengakuan bekas pelajar yang pernah menjadi mangsa buli.

"Kami akan disepak terajang serta akan diugut jika tidak mahu cikgu mengetahui kesalahan yang dilakukan," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor Lelaki Pulau Pinang, Khairol Ikram Salamat.

Menurut Khairol (gambar) dan rakan-rakannya akan diugut oleh pelajar senior bagi menutup rahsia mengenai kesalahan yang mereka lakukan.

"Masa itu kami baru tingkatan satu, jadi bila sudah melakukan kesalahan walaupun kecil, pelajar senior akan ugut untuk laporkan kepada guru disiplin dan kesannya akan lebih buruk kalau ia sampai ke pengetahuan ibu bapa.

"Jadi kami diberi pilihan sama ada hendak berhadapan dengan guru disiplin ataupun memilih supaya kes berkenaan ditutup dengan hanya menerima tindakan oleh pelajar senior," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Khairol sendiri pernah diperlakukan seperti bola oleh sekumpulan pelajar senior. "Mereka mengelilingi saya yang berada dalam bulatan kecil, mula-mula saya ditolak ke kiri dan ke kanan... kemudian mereka bertindak dengan lebih kasar dengan menumbuk dan menendang," katanya yang menuntut di sekolah berkenaan dari tahun 1997 hingga 2001.

Menurut Khairol gejala buli di sekolah tidak hanya membabitkan sekolah harian biasa sebaliknya turut berlaku sekolah berlatarbelakangkan agama namun mungkin dianggap terpencil kerana jumlahnya yang kecil.

"Sebenarnya di sekolah agama pun berlaku kes buli, situasinya sama sahaja di mana-mana sekolah. Ia umpama satu amalan terutamanya bagi pelajar yang lebih senior untuk membuli pelajar junior lebih-lebih lagi pada minggu orientasi," katanya.

Minggu lalu, pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD), Mohamad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, meninggal dunia selepas dipercayai dibuli sekumpulan pelajar senior.

Sementara itu, seorang lagi bekas pelajar sebuah sekolah agama di Kelantan turut mengakui pernah menjadi mangsa buli di kalangan pelajar senior.

Mangsa ini, seorang pelajar perempuan yang sedia untuk bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan berkata, yang dia pernah diperlakukan sebagai 'tukang cuci' oleh pelajar senior di asrama sekolahnya.

"Hampir empat bulan saya jadi hamba kakak-kakak senior, saya perlu mencuci pakaian mereka setiap hari.

"Bukan seorang, sebaliknya tiga orang dalam satu-satu masa... kami seperti dibahagikan kepada kumpulan kecil, setiap seorang pelajar baru akan menerima tiga orang 'kakak angkat' dan kami perlu berkhidmat kepada mereka," katanya.

Bagaimanapun jelasnya aktiviti berkenaan berjaya dihentikan apabila salah seorang daripada rakannya membuat aduan kepada keluarganya.

"Kami semua takut nak mengadu kepada sesiapa kerana diugut oleh senior dan bakal menerima tindakan yang lebih dasyat jika perkara berkenaan bocor.

"Mereka (senior) kata apa yang kami lalui itu adalah perkara biasa yang perlu dilakukan oleh pelajar baru... namun itu semua memang tak masuk akal," katanya yang kini berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan