SPRM Tidak Akan Ke London Ambil Keterangan P. Balasubramaniam

Diterbitkan: Rabu, 30 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memutuskan tidak akan menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, sebaliknya Balasubramaniam akan diminta menjawab soalan yang akan dikemuka menerusi peguamnya dalam bentuk akuan bersumpah atau afidavit.

"Kami telah merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan pandangan berhubung implikasi undang-undang terhadap proses merakamkan percakapan saksi di luar negara dan kami dinasihatkan agar tidak meneruskan pendekatan itu," katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, tindakan mengambil keterangan secara akuan bersumpah atau afidavit itu diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010.

SPRM akan mengemukakan soalan kepada penyiasat persendirian itu melalui peguamnya bersama surat iringan menyatakan keputusan yang telah diambil, katanya. Media sebelum ini melaporkan proses merakamkan percakapan penyiasat persendirian itu dijadual dari 5 hingga 7 Julai ini di Hotel Holiday Villa, London.

Pada Mei lepas, SPRM menyatakan kesediaan mengambil keterangan penyiasat persendirian itu, selepas dia bersetuju berbuat demikian.

Sebelum ini, usaha SPRM untuk mengambil keterangan Balasubramaniam menemui jalan buntu kerana tidak mengetahui lokasi penyiasat persendirian itu yang menghilangkan diri bersama keluarga pada Julai 2008.

Balasubramaniam sebelum itu mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan dua kenyataan bersumpah yang bertentangan berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Sementara itu, Pengarah Undang-Undang dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata, langkah tersebut diambil setelah mengambil kira kes Tan Sri Eric Chia di mana satu kenyataan saksi yang diambil di luar negeri, tidak diterima sebagai bahan bukti dalam kes rasuah tersebut.

Abdul Razak berkata, keputusan untuk tidak merakam kenyataan Balasubramaniam itu juga mengambil kira keputusan terhadap keterangan pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand dalam inkues kematian Tan Hock Beng.

Beliau mengingatkan agar SPRM untuk mengambil setiap tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang Malaysia bagi melengkapkan kes ini.

Namun beliau mengakui afidavit tersebut mungkin tidak banyak membantu kes berkenaan jika Balasubramaniam tidak tampil memberi keterangan di mahkamah.

Katanya, menurut Seksyen 30 (1) (c) Akta SPRM 2010, sesuatu afidavit diterima di mahkamah, tetapi berat bukti itu boleh dipersoalkan jika ia tidak boleh disoal-balas.

Mohd Shukri berkata, kerana itulah SPRM meminta Balasubramaniam memberikan pernyataan di Malaysia dan memberi keterangan di mahkamah.

Menurut Mohd Shukri, SPRM telah merakam kenyataan hampir kesemua saksi dan hanya kenyataan penyiasat persendirian itu sahaja yang belum dapat diambil.

"Beliau bukan musuh kami dan begitu juga kami bukan musuhnya. Mungkin afidavit yang dibuat oleh beliau akan ada lagi saksi-saksi yang akan ditimbulkan dan kita akan membuat susulan bersama tindakan selanjutnya nanti," katanya.

Ditanya mengapa SPRM mengambil masa yang begitu lama untuk membuat keputusan mendapatkan keterangan Balasubramaniam itu, Mohd Shukri berkata, "lebih baik ambil masa yang lama asalkan kita tidak membuat sesuatu yang merugikan semua pihak."

"Tidak guna kita lakukan siasatan dan akhirnya keterangan tidak diterima dan sia-sia saja usaha kita. Saya rasakan ia merupakan tindakan wajar untuk tidak mengambil kenyataan Balasubramaniam di London berdasarkan nasihat Pejabat Peguam Negara ini," katanya. Ditanya adakah kes itu akan ditutup sekiranya Balasubramaniam tidak memberi kerjasama, Mohd Shukri berkata, "Kami akan rujuk fail kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan samada fail kes ditutup atau tidak." -- BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan