Pemuda Umno Mahu Ulama Muda Berperanan

Diterbitkan: Rabu, 30 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno memberi ruang yang luas kepada kumpulan ulama muda dalam parti itu untuk merangka sebarang program bagi memantapkan kelangsungan politik Umno dan sekaligus mengangkat martabat Islam.

Exconya yang juga Pengerusi Biro Agama, Mohd Affendi Yusof berkata, sikap keterbukaan yang diamalkan Pemuda Umno dapat menepis dakwaan kononnya kumpulan ulama dalam Umno hanya bersifat 'syaitan bisu'.

"Nampaknya tindakan kita ini telah menepis dakwaan liar yang diperkatakan sesetengah pihak bahawa mereka ini (ulama Umno) tak ubah seperti 'syaitan bisu'.

"Kita juga nak tunjukkan bahawa ulama kita tak bisu, tapi sebaliknya segelintir ulama dalam PAS yang lebih bisu kerana tidak menegur pemimpin mereka walaupun bertindak bertentangan dengan ajaran Islam," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Menurut Mohd Affendi lagi, Pemuda Umno mengambil langkah efektif dengan menyediakan platform kepada kumpulan ulama muda itu untuk meneruskan misi dakwah mereka khususnya di kalangan golongan muda.

"Kita sudahpun mulakan kerjasama yang baik dengan kumpulan ulama muda ini.

"Mereka akan mengadakan perbincangan dan menyediakan draf kertas kerja mengenai program-program yang akan dianjurkan bersama-sama Pemuda," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai hasil pertemuan sulung Pemuda Umno bersama kumpulan ulama berkenaan yang diadakan di pejabat pergerakan itu semalam.

Hadir sama pada pertemuan hampir dua jam itu ialah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Kerja, Saiful Hazizy Zainol Abidin.

Kumpulan Ulama berkenaan diketuai oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadlan Mohd Othman.

Mengulas lanjut, Mohd Affendi berkata, bagi memastikan kumpulan ulama berkenaan memainkan peranan yang lebih efisyen, Pemuda Umno sedang merangka untuk menubuhkan Sekretariat Ulama Muda dalam pergerakan itu sebagai platform berdakwah.

"Kita sedang mengkaji mengenainya, sekretariat ini boleh bergerak di bawah Biro Agama yang sedia ada dan seterusnya memantapkan lagi kerja-kerja dakwah yang kita jalankan sebelum ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan