Jawatankuasa Khas Ditubuh Kaji Pemansuhan UPSR, PMR

Diterbitkan: Rabu, 30 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA akan menubuhkan jawatankuasa khas diketuai Ketua Biro Pendidikan MCA Kebangsaan, Datuk Dr Wee Ka Siong untuk mendapatkan maklum balas orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, jawatankuasa khas tersebut akan mengumpul maklumat di seluruh negara terutamanya di kawasan bandar seperti Johor Baharu, Ipoh, Petaling Jaya dan Pulau Pinang.

"Selain itu, cawangan-cawangan MCA juga perlu memberi kerjasama bagi menganjurkan dialog dengan NGO dan persatuan lain bagi mendapat kesimpulan lebih tepat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA di di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Presiden Datuk Donald Lim Siang Chai, Datuk Chor Chee Heung, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Senator Gan Ping Sieu, Setiausaha Agung, Datuk Seri Kong Cho Ha, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datuk Yu Chok Tow.

Pada 20 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang mengkaji dengan teliti cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu sebelum membuat keputusan muktamad.

Dr Chua berkata, jawatankuasa khas tersebut diberi tempoh satu bulan untuk menyiapkan laporan berkenaan dan ia akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk mengkaji semula cadangan pemansuhan itu.

"Saya berharap Kementerian Pelajaran akan membuat keputusan yang baik kerana ia akan memberi pengaruh yang besar kepada pelajar dan keluarga," katanya.

Mengenai kemasukan pelajar Cina ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), beliau berkata terdapat 92 peratus pelajar kaum itu berjaya memasuki IPTA termasuk mereka yang memohon kursus kritikal.

Beliau berkata, prestasi tersebut adalah memuaskan kerana tahun ini merupakan peratusan tertinggi bagi kemasukan pelajar Cina ke IPTA berbanding dengan 80 peratus pada tahun lepas.

"Pada masa yang sama, kes pengaduan mengenai pelajar gagal memasuki IPTA juga menurun, iaitu hanya 249 laporan yang diterima oleh MCA berbanding dengan lebih 1,000 kes yang diterima pada tahun sebelum ini," tambahnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan