Transformasi Menyeluruh Meletakkan Malaysia Antara Negara Berpendapatan Tinggi - Najib

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Malaysia perlu melakukan transformasi menyeluruh bagi membolehkan negara ini berada dalam kelompok negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Katanya, bagi mencapai hasrat itu, pendekatan melahirkan masyarakat berprestasi dan bersatu padu dilakarkan melalui konsep 1Malaysia yang tidak mengenepikan asas-asas kekukuhan negara, termasuk Perlembagaan dan Rukun Negara.

"Bagi memacu pertumbuhan, dasar-dasar yang lebih progresif dirangka agar kerelevanan dengan keperluan semasa dapat dipenuhi.

"Antaranya ialah meliberalisasikan 27 subsektor ekonomi, menggariskan Model Baru Ekonomi yang berteraskan ekonomi inovasi dan kreativiti, melengkapkan kerjasama erat sektor awam dengan swasta, menghargai bakat dan potensi modal insan, dan menggerakkan perspektif pemikiran selaras dengan pelan transformasi," katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Qur'an Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 di sini.

Najib berkata pembentangan Bajet Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) melibatkan RM230 bilion baru-baru ini adalah berkonsepkan 1Malaysia dan diformulasikan berasaskan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi serta dijana dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Kombinasi antara strategi-strategi tersebut adalah ramuan terbaik dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif," katanya.

Selain itu, Najib berkata konsep 1Malaysia yang berteraskan keadilan sosial juga berasaskan tuntutan al-Qur'an yang berhasrat untuk mengukuhkan perpaduan negara melangkaui toleransi dengan penerimaan kepelbagaian etnik dan agama.

Jelasnya, pendekatan itu penting bagi mengekalkan kestabilan sosial dan politik agar Malaysia kekal relevan sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik.

"Hasil pelan transformasi ini telah menjadikan Malaysia lebih dihormati sebagai sebuah negara Islam progresif.

"Pengiktirafan ini sepatutnya kita pertahankan, dan kerana itu Malaysia tetap bertegas untuk terus menjejaki petualang yang boleh menjejaskan negara, termasuk kumpulan militan, pemerdagangan manusia dan aktiviti penyeludupan.

"Meskipun tidak berupaya menghapuskan petualang ini sepenuhnya, sekurang-kurangnya Malaysia telah menunjukkan kemampuan untuk mengekangnya dari terus menjadi barah dan bencana," katanya.

Najib berkata sikap progresif yang menekankan transformasi harus dikembangkan secara meluas dan mendalam terhadap setiap umat Islam di negara ini.

Beliau berkata usaha mentransformasikan diri itu perlu bagi melahirkan umat yang menentang semua bentuk ketidakadilan.

"Bagi melahirkan umat yang progresif, kita hendaklah berusaha membangun semula pemikiran Islam yang lebih dinamik dan sesuai dengan realiti sosial, tetapi tetap menjadikan Islam sebagai wadah yang kukuh dirukuni dan diadunkan dengan aspek keadilan sosial, kesederhanaan dan penerimaan, di samping isu-isu yang berkaitan ekonomi, politik dan budaya," katanya.

Beliau menyarankan cendekiawan Islam menganjurkan pemikiran melalui pelbagai wacana intelektual, termasuk mentafsirkan semula nilai-nilai Islam yang terkandung dalam al-Quran agar terus relevan dan mampu melahirkan peradaban Islam.

Mengenai penganjuran majlis tilawah al-Quran, Najib berkata bilangan penganjuran pertandingan itu dan jumlah qari serta qariah yang menyertainya masih belum cukup bagi memastikan bidang pengajian al-Quran nampak menyeluruh dan berdaya saing.

Perdana Menteri berkata qari dan qariah yang dihasilkan melalui pertandingan itu bukan sahaja perlu lancar dalam menguasai ilmu tajwid dan taranum, malah seharusnya mantap berfikir, berhujah, berkomunikasi dan mampu membantu menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat.

"Justeru, seharusnya johan qari dan qariah memanfaatkan ilmu dan bakat mereka, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dan pengajian al-Quran," katanya.

Beliau menyarankan semua qari dan qariah membantu negara dengan menyumbang ilmu untuk mendidik umat Islam supaya celik dan membudayakan al-Quran.

Oleh itu, pemberian imbuhan bulanan oleh kerajaan sebanyak RM2,000 sepanjang hayat kepada johan qari dan qariah peringkat antarabangsa diharap akan menyuntik semangat mereka untuk terus menabur bakti dalam memperkasakan umat dan memajukan negara. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan