Pemohon Taraf Pemastautin Tetap Perlu Ada Permit Masuk

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat asing yang ingin memohon status Pemastautin Tetap perlu mendapatkan Permit Masuk terlebih dahulu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta Imigresen 1959/63.

"Seseorang warga asing yang dikeluarkan Permit Masuk layak memohon taraf Pemastautin Tetap bagi membolehkan mereka dikeluarkan Kad Pengenalan Merah atau MyPR oleh Jabatan Pendaftaran Negara," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) mengenai kelayakan serta prosedur dalam pemprosesan status kedudukan tetap bagi pendatang asing serta statistik permohonan.

Abu Seman berkata, hanya enam kategori pemohon yang akan dipertimbangkan untuk pemberian Permit Masuk iaitu seseorang yang memiliki kelayakan profesional atau kepakaran yang membolehkannya memberi perkhidmatan dalam negara tanpa menjejaskan warganegara sedia ada, serta seseorang yang memiliki sijil yang dikeluarkan oleh Menteri mengesahkan kemasukannya adalah untuk kepentingan ekonomi negara.

"Selain itu ialah isteri dan mana-mana anak di bawah umur enam tahun kepada sesiapa yang dibenarkan masuk di bawah kategori terdahulu, dan isteri kepada warganegara Persekutuan yang tidak pernah tinggal berasingan dengan suami untuk tempoh lima tahun berturut-turut.

"Seterusnya, mana-mana anak di bawah umur enam tahun kepada warganegara Persekutuan, dan sesiapa yang diberi kebenaran oleh Menteri untuk masuk ke Persekutuan di atas belas kasihan," katanya.

Abu Seman berkata, permohonan bagi mendapatkan Permit Masuk ini boleh dibuat di mana-mana pejabat Imigresen dan pemohon hendaklah mempunyai dokumen perjalanan atau pasport yang sah.

"Bagaimanapun, pertimbangan dan keputusan permohonan adalah di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Imigresen.

"Pemohon yang terkilan dengan keputusan beliau boleh merayu secara bertulis dalam tempoh 30 hari kepada Menteri Dalam Negeri yang mempunyai kuasa untuk menimbang rayuan dan keputusan menteri berkenaan adalah muktamat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 24,883 permohonan Permit Masuk diterima bagi tempoh 2001 hingga 2009 untuk tujuan memohon taraf Pemastautin Tetap.

"Kesemua permohonan itu telah diselesaikan dan keputusan telah dikeluarkan.

Buat masa ini sebanyak 521 permohonan dan rayuan baru telah diterima dan sedang diproses oleh Imigresen dan kementerian," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan