Mara Akan Tambah Jumlah Tajaan Luar Negara Peringkat Sarjana

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara), agensi kerajaan yang berperanan dalam memberi bantuan pinjaman pelajaran, akan meningkatkan jumlah tajaan luar negara bagi peringkat sarjana.

"Mara akan mengurangkan tajaan untuk peringkat ijazah pertama dan akan menambah jumlah tajaan bagi peringkat sarjana bermula tahun depan," kata Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Muhamad.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran buku Panduan Operasi Kewangan dan laman web bahagian kewangan Mara di bangunan Medan Mara di sini hari ini, beliau berkata Mara akan mengutamakan tajaan pengajian ke luar negara bagi peringkat sarjana untuk kursus kritikal.

Beliau berkata Mara juga akan terus menawarkan tajaan kepada penuntut yang melanjutkan pengajian luar negara di universiti yang diiktiraf dalam bidang-bidang tertentu dan tidak hanya tertumpu kepada universiti tersohor.

Sementara itu, buku panduan Operasi Pengurusan Kewangan dan laman web bahagian kewangan Mara yang baru dilancarkan itu adalah untuk membantu dan meningkatkan tahap kecekapan pegawai dalam melaksanakan pengurusan kewangan dengan lebih berkesan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan