KDN Dapat Penjelasan Bertulis Bagi Tiga Surat Tunjuk Sebab

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini telah mendapat penjelasan bertulis berhubung tiga surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada akhbar Suara Keadilan.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Mahmood Adam berkata penjelasan itu yang merupakan jawapan bagi ketiga-tiga surat tunjuk sebab berkenaan diterima melalui faksimili pada 4.57 petang tadi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung penjelasan bertulis itu kerana perlu meneliti isi kandungan dokumen berkenaan terlebih dahulu.

"Saya belum tengok lagi jawapan mereka, dan kementerian juga akan mengadakan mesyuarat selepas ini untuk menilai sama ada jawapan mereka boleh diterima pakai atau tidak," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai maklum balas kepada tiga surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh KDN kepada Suara Keadilan pada Januari, Februari dan April tahun ini.

KDN mengeluarkan surat tunjuk sebab pada Januari dan April ekoran kegagalan akhbar milik Parti Keadilan Rakyat itu memberi lapan salinan akhbar berkenaan bagi setiap keluaran.

Surat tunjuk sebab Februari pula khusus meminta penjelasan berhubung tiga artikel yang disiarkan Suara Keadilan yang didapati mempunyai unsur fitnah terhadap Umno dan Barisan Nasional.

Semalam, Mahmood memberitahu pemberita bahawa tarikh akhir ketiga-tiga surat tersebut perlu dijawab ialah pukul 5 petang ini.

Selain itu, akhbar berkenaan diberi tempoh seminggu yang bermula semalam, bagi menjelaskan laporannya yang mendakwa Lembaga Pembangunan Tanah Negara (Felda) telah muflis. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan