Dana Khas RM20 Juta Bantu Peniaga Kecil India

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi mewujudkan satu dana khas untuk membantu kaum India kurang berkemampuan menjalankan perniagaan menerusi pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata sehingga kini, kira-kira 700 peniaga kecil India di seluruh negara sudah diberi pinjaman itu bagi tujuan mengembangkan perniagaan mereka.

Tekun Nasional mendapat kerjasama Yayasan Strategik Sosial (YSS) dalam mengeluarkan pinjaman itu kepada peniaga kecil India, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Tekun Nasional 2010 di sini, hari ini.

Noh juga berkata Tekun Nasional mencatatkan keuntungan RM1.5 bilion sehingga 31 Mei lepas daripada dana asal kerajaan sebanyak RM900 juta dan sehingga kini, seramai 170,000 orang membuat pinjaman daripada tabung itu.

Selain itu, Tekun Nasional juga membuat peraturan baru apabila peniaga yang ditawarkan pinjaman diwajibkan menghadiri kursus berkaitan keusahawanan mulai 1 Julai ini.

"Peminjam yang tidak menghadiri kursus ini dengan alasan tidak munasabah akan dibatalkan tawaran pinjaman," katanya.

Beliau menjelaskan peraturan itu selaras dengan usaha membangunkan modal insan menjadi usahawan berjaya dan menaikkan taraf ke Industri Kecil Sederhana (IKS).

Kursus sehari itu juga membolehkan peminjam mendapat latihan asas perniagaan seperti membuat akaun.

Noh juga meminta para peminjam supaya membayar pinjaman seperti yang dijadualkan dan menyarankan Tekun Nasional memberi ganjaran kepada peminjam yang membayar tepat pada masa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan