Belum Sampai Masa Untuk Putuskan Pengagihan Kerusi Di Sabah - Najib

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENAMPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan belum sampai masanya memutuskan sama ada pengagihan kerusi Barisan Nasional (BN) di Sabah dikekalkan status-quo nya ataupun tidak menjelang pilihan raya seterusnya.

"Belum sampai masanya kita buat apa-apa keputusan, kenapa orang nak melatah dan terlalu banyak riak pada masa sekarang.

"Saya belum membuat sebarang keputusan tentang apapun ... Serahkan pada saya untuk memutuskan apa yang terbaik bagi Sabah. Pada masa ini, kita jangan terlalu teruja tentang apapun," katanya ketika ditanya sama ada beliau mempertimbangkan untuk sebarang perubahan dari segi politik di Sabah.

"Terlalu banyak politiking dalaman tapi walau apapun ia, nasihat saya ialah tumpukan untuk berkhidmat kepada rakyat... Kita mesti tunjuk, kita sebuah parti yang prihatin dengan rakyat di Sabah, itu yang penting sekali," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra beliau ke Pasar Lido, dekat sini.

Najib ditanya demikian berikutan baru-baru ini, terdapat pergeseran sesama parti-parti komponen BN di Sabah apabila ada yang meminta supaya kerusi tertentu diberikan kepada parti mereka pada pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, Ketua Umno bahagian Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh dilaporkan meminta supaya kerusi DUN Merotai dikembalikan kepada Umno kerana Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memegang kerusi tersebut selama dua penggal, gagal membawa perubahan kepada kawasan tersebut.

Ahad lalu pula, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin menyarankan agar kerusi Parlimen Putatan diserahkan kepada calon Umno untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang, yang kini diwakili calon dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Marcus Majigoh.

Yahya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri dan Ketua Umno Bahagian Putatan berkata langkah itu wajar memandangkan Umno adalah tunjang kekuatan BN di kawasan Parlimen tersebut tetapi menurutnya perkara itu hanya saranan dan Umno Putatan tetap akur dengan apa juga keputusan pucuk pimpinan BN berhubung perkara tersebut.

Berhubung perkara itu, Najib berkata: "Saya rasa masalah BN sebenarnya kita boleh kawal, sebab walaupun ada sedikit perbezaan pendapat, macamanapun saya percaya mereka akan patuh kepada pucuk pimpinan BN apabila sampai pada masanya.

"Pada peringkat ini mungkin atas desakan di peringkat akar umbi, ada pelbagai pandangan dan juga tuntutan, tetapi macamanapun ia mesti tertakluk kepada semangat dan pemuafakatan BN. Mengikut perlembagaan kita, sesiapapun boleh membuat tuntutan, tetapi keputusan muktamad di tangan dewan tertinggi dan pengerusi BN," jelas Najib.

Sambil memberi contoh semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor sebelum ini, Najib berkata: "Macam di Hulu Selangor, kita pada peringkat awal tu ada juga desakan supaya Umno bertanding dan sebagainya. Tetapi saya mengambil keputusan untuk berpegang kepada pemuafakatan BN dan kerusi Hulu Selangor kekal pada calon MIC.

"Meskipun Umno tak bertanding, tapi Umno telah bekerja dengan begitu keras sekali untuk memastikan calon MIC menang. Sebab yang penting sekali ialah calon itu calon BN, sesiapapun bertanding pada akhirnya ia mesti dilihat sebagai bukan calon mana-mana komponen BN, tetapi calon BN secara keseluruhan," katanya.

Najib mengingatkan, ini merupakan salah satu daripada faktor yang menyebabkan BN berjaya selama ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa belia Melayu kurang mendaftar sebagai pengundi berbanding belia bukan Melayu seperti dilaporkan sebuah akhbar hari ini, Najib berkata adalah menjadi kebiasaan sekarang di mana bilangan pengundi tambahan dilihat dari komposisi kaum dalam negara ini.

"Mungkin ada sedikit perbezaan purata dari segi peratusan, boleh dikatakan ini ikut kepada pecahan komposisi kaum," katanya, sambil menggesa semua komponen parti untuk memberi perhatian kepada perkara ini dan menggerakkan jentera masing-masing untuk memastikan peningkatan bilangan pengundi yang mendaftar.

Ditanya apa yang mungkin menyebabkan belia kurang berminat untuk mendaftar sebagai pengundi, Najib berkata ia mungkin soal kesedaran politik dan kesedaran tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Katanya masih terdapat lebih kurang 4.3 juta rakyat yang layak berdaftar sebagai pengundi tetapi belum berbuat demikian dan ini merupakan satu jumlah yang besar.

Berita Harian melaporkan SPR mengakui lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas Pilihan Raya Umum 2008 kerana DAP paling agresif menjalankan program mendaftar pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina.

Akhbar itu memetik Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai berkata dalam BN, hanya Umno yang agresif menarik golongan muda mendaftar sebagai pengundi baru berbanding parti komponen lain seperti MIC dan MCA, mungkin kerana menghadapi masalah dalaman. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan