Ahmad Kecewa kerja Bersih Bumbung Stadium Runtuh Belum Mula

Diterbitkan: Selasa, 29 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said sekali lagi melahirkan rasa kecewa kerana kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini masih belum dijalankan.

Sehingga ini, beliau berkata masih belum ada sebarang maklumat berhubung kerja-kerja pembersihan runtuhan itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Saya tak tahulah, JKR yang buat penilaian dan mengeluarkan tender. Saya difahamkan ramai sangat yang masuk untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan itu sehingga 40 kontraktor.

"JKR ada penilaiannya sendiri melalui lembaga tendernya. Kalau saya, senang saja pilih yang murah untuk jimat kos. Nak nilai apa yang lama sangat sehingga lima dan enam bulan belum selesai lagi.

"Sayapun rasa malu juga," katanya selepas majlis penyerahan E-Book kepada pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di sini.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai kerja-kerja pembersihan bumbung stadium yang runtuh pada 2 Jun tahun lalu masih terbengkalai sehingga kini walaupun laporan kertas siasatan tentang punca kejadian itu diumumkan oleh kerajan negeri April lepas.

Stadium berharga kira-kira RM292 juta itu runtuh setahun selepas ia siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 pada 2008.

Ahmad berkata pada September ini, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan program perhimpunan 40,000 remaja seluruh Terengganu di stadium itu dan sehubungan itu, beliau berharap kerja-kerja pembersihan dilakukan secepat mungkin.

"Saya dah beritahu supaya buat cepat. Kalau mereka buat kerja betul-betul dalam tempoh sebulan boleh siap dan boleh digunakan untuk perhimpunan remaja berkenaan," katanya.

Jika kerja-kerja pembersihan runtuhan itu belum juga dilakukan, Ahmad berkata program perhimpunan remaja "terpaksa diadakan di luar stadium itu".

Terdahulu, Ahmad menyampaikan e-Book kepada 819 murid Tahun Lima melibatkan lima sekolah di kawasan DUN Batu Buruk serta baucar pakaian sekolah melibatkan 2,019 murid. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan