Sultan Johor Tamatkan KMJ 2010, Peroleh Lesen Memandu Keretapi

Diterbitkan: Isnin, 28 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini tiba di JB Sentral setelah menamatkan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010, dengan menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama yang meliputi empat daerah di negeri ini. Baginda dan rombongan diraja serta peserta kenamaan tiba di JB Sentral pada pukul 5 petang dan disambut kira-kira 500 rakyat jelata.

Selepas memandu sendiri kereta api dan melakukan prosedur 'turn table' bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan pada pagi ini, Sultan Ibrahim telah layak menerima Lesen Memandu Lokomotif Kelas 26.

Lesen itu diserahkan kepada baginda oleh Presiden Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr Aminuddin Adnan pada satu majlis di stesen tersebut.

Dengan itu juga, baginda menjadi sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari sejak Jumaat lepas.

Ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) dan sijil pengiktirafan disampaikan kepada baginda oleh Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi.

Dalam ucapan pada majlis penutupan kembara itu di JB Sentral, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman melahirkan rasa bangga rakyat Johor atas kejayaan Sultan Ibrahim memperoleh lesen tersebut.

"Sesungguhnya Kembara Mahkota Johor 2010 ini sangat istimewa kerana Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri memandu kereta api," katanya.

KMJ edisi ke-12 dimulakan pada 2001 hasil cetusan Sultan Ibrahim sendiri ketika menjadi Tunku Mahkota Johor yang bertujuan mendekatkan hubungan keluarga diraja Johor dengan rakyat itu turut disertai isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris, dan dua anakanda baginda iaitu Tunku Aminah serta Tunku Idris. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan