Bahasa Cina, Tamil Diambil Kira Dalam Pemberian Biasiswa: Wee

Diterbitkan: Isnin, 28 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tanggapan kononnya Kementerian Pelajaran tidak memberi layanan yang sama kepada mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil dalam pemberian biasiswa adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata asas pertimbangan yang digunakan dalam pemberian biasiswa adalah berdasarkan kepada sembilan mata pelajaran teras.

"Murid yang dapat keputusan baik dalam Bahasa Cina dan Tamil ada kelebihan, contohnya kalau mahu menceburi bidang perguruan. Ini kerana salah satu daripada kelayakan yang diperlukan adalah kredit dalam mata pelajaran tersebut," katanya kepada M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang mempersoalkan mengapa kedua-dua mata pelajaran bahasa ibunda itu tidak dimasukkan dalam subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia melalui formula SPM 10+2.

Wee berkata, kementerian tidak menghalang malah menggalakkan murid sekolah untuk mengambil mana-mana mata pelajaran yang mereka mahu termasuklah kedua-dua mata pelajaran itu.

Beliau berkata, bagi tujuan pemilihan calon SPM untuk Hadiah Biasiswa Nasional, kementerian akan menyenarai pendek nama calon berdasarkan purata peratus jumlah markah mentah yang memperoleh gred A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil, bagi menjamin kualiti pencapaian calon.

Wee juga berkata, kementerian tidak melakukan apa-apa dalam soal pemberian biasiswa kecuali memberi maklumat dan data kepada pihak yang memerlukan kerana pertimbangan untuk tujuan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam tertakluk kepada keputusan JPA bergantung kepada kursus yang dipohon. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan