Ulama Muda Sertai Umno Bukti Penerimaan Cara Umno Perjuangkan Islam

Diterbitkan: Ahad, 27 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEMPORNA: Minat ulama muda menyertai Umno bukti penerimaan golongan ulama terhadap pendekatan parti itu dalam memperjuangkan Islam, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu kata Shafie, penyertaan golongan cendikiawan Islam berkenaan ke dalam Umno juga akan membantu memperkukuhkan lagi parti untuk merealisasikan agendanya membela rakyat dan membangunkan negara ini.

"Dalam perlembagaan Umno memang disebutkan kita memperjuangkan agama (Islam). Kita yakin dengan kemasukan golongan ulama ini, mereka akan membantu kita memperkuatkan lagi parti kita.

"Mereka boleh membantu (menjelaskan) dan menangkis segala tohmahan-tohmahan dalam bidang agama seperti yang sering dikatakan (pihak tertentu) kononnya kita tidak boleh berpakat dengan Umno.

"Tetapi dengan adanya keyakinan ulama-ulama ini, ia menampakkan ulama pun boleh terima perjuangan Umno," katanya kepada pemberita sebagai mengulas penyertaan 40 ulama muda ke dalam Umno baru-baru ini.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Semporna yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh yang mewakili Umno negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu kata Shafie, Umno menerima baik penyertaan ulama-ulama muda berkenaan ke dalam Umno dan berharap lebih ramai lagi golongan muda mendaftar sebagai ahli parti berkenaan.

Katanya Umno bersikap terbuka dalam konteks keahlian ke dalam parti itu dan berharap kepimpinan di semua peringkat termasuk cawangan dan bahagian dapat melipat gandakan usaha menambah ahli baru serta mendaftar ahli sebagai pengundi.

Mengenai keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan bola sepak di negara ini, Shafie berharap ia dapat diterima baik semua pihak kerana keputusan dibuat selepas meneliti pelbagai pandangan dan desakan ramai pihak.

Mengulas kenyataan Sultan Johor yang mahukan cadangan pembinaan jambatan Johor-Singapura dikaji semula, Shafie bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa perkara itu akan teliti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan