Perbezaan Mazhab Bukan Punca Kemunculan JI

Diterbitkan: Ahad, 27 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, adalah tidak tepat untuk mendakwa bahawa kefahaman berbeza mazhab sebagai punca kepada kemunculan beberapa gerakan seperti Jemaah Islamiah (JI).

Ini kerana menurutnya, gerakan seperti JI tidak berpaksikan fahaman mazhab tertentu sebaliknya pergerakan mereka adalah bermotifkan politik.

"Sebab kenapa negara kita hanya mengamalkan Sunnah Wal-Jamaah dan mazhab Shafie adalah kerana kita tidak mahu umat Islam di negara ini berpecah belah dan menyebabkan pertembungan antara masyarakat.

"Itu bukan bermaksud mazhab yang lain tidak boleh digunakan," katanya.

Namun menurutnya, kerajaan melalui JAKIM akan terus memantau segala aktiviti yang memberbahaya dan menyimpang kepada umat Islam.

Dalam pada itu beliau berkata, penyertaan 40 orang pendakwah muda ke dalam Umno dilihat sebagai satu keperluan untuk menyemarakkan lagi aktiviti dakwah dalam parti itu dan akan memberi impak kepada umat Islam di negara ini.

"Kebanyakan mereka yang masuk parti Umno merupakan individu yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan mempunyai nilai peribadi yang tinggi maka kemasukan mereka melengkapkan gabungan yang ada supaya negara dalam keadaan tersusun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dewan Huffaz Kebangsaan di sini hari ini.

Jamil Khir yang juga Pengerusi Biro Agama Umno berkata, beliau akan memantau arus perjalanan para ulamak tersebut supaya segala aspirasi tercapai dan akan mengembling tenaga supaya semua yang dirancang akan berjalan seiring.

Jumaat lalu, 40 orang ulamak muda telah menyerahkan borang keahlian mereka kepada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sejurus sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan