Kempen 'Tak Nak Judi' Akan Diteruskan 3 Julai Ini

Diterbitkan: Ahad, 27 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) tetap akan mengadakan perhimpunan rakyat pada 3 Julai ini walaupun kerajaan telah mengumumkan tidak akan mengeluarkan lesen kepada Ascot Sports Sdn Bhd (Ascort Sport) bagi menjalankan operasi pertaruhan sukan bolasepak.

Pengerusi GMJ, Mohd Azmi Abd Hamid, dalam satu sidang media khas hari ini berkata, perhimpunan tetap akan berlangsung seperti yang diuar-uarkan sebelum ini tetapi dengan tujuan melancarkan satu kempen yang dinamakan 'Tak Nak Judi'.

"Pada hari itu, kita hanya akan berhimpun, tapi tidak berarak. Kempen ini sebagai lanjutan kepada bantahan GMJ terhadap pihak kerajaan supaya tidak meluluskan judi sukan.

"Kalau kerajaan boleh memperuntukkan modal yang besar untuk kempen Anti Dadah dan Tak Nak Merokok misalnya, kita lihat tiada sebab dan halangan untuk kita melancarkan kempen Tak Nak Judi," katanya.

Perhimpunan yang akan diadakan di Masjid Negara selepas solat Zohor itu akan disertai oleh pemimpin-pemimpin NGO tanpa mengira bangsa, kaum dan agama serta tokoh-tokoh pemimpin terkemuka tanahair.

Mohd Azmi turut menjangkakan perhimpunan itu akan disertai seramai 10 ribu peserta yang sebelum itu akan akan bersolat hajat secara berjemaah.

"Pada perhimpunan itu, kami akan menyatakan pendirian kami yang mahukan negara ini sebagai negara bebas industri judi, bukan setakat bebas daripada gejala judi sahaja.

"Kita tidak mahu pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini mengeksploitasi orang ramai terutama yang terperangkap dalam masalah kewangan dan dalam masa yang sama mendapat keuntungan lumayan," katanya.

Menurut beliau, aktiviti berjudi, sama ada kecil atau besar hanya akan membawa kepada musibah kepada rakyat, masyarakat dan negara.

"Kita sangat berharap agar kerajaan akan menyokong kempen ini dan akan dapat sama-sama membantu menghapuskan sebarang bentuk judi di Malaysia, bukan setakat judi dalam sukan sahaja," katanya.

Dalam pada itu, GMJ turut menyelar pendapat beberapa pemimpin Melayu yang sebelum ini mengaitkan masyarakat bukan Melayu yang 'berbudaya judi' sebagai alasan untuk mempertimbangkan pemberian lesen judi.

"GMJ merasakan pendapat itu sangat tidak bertanggungjawab. Dalam GMJ terdapat ramai NGO bukan Islam dan mereka turut menyokong supaya menolak judi kerana semua agama menolak aktiviti tidak bermoral ini.

"Sepatutnya, keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen judi dibuat kerajaan awal-awal lagi dengan melihat kepentingan agama, bukan kepentingan politik, ekonomi dan sosial.

"Isu ini melibatkan semua, bukan satu parti politik sahaja dan bukan tentang satu kaum tertentu sahaja. Sepatutnya keputusan ini datangnya dari kerajaan dan kesepakatan semua parti politik," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan