Fahaman Wahabi Tiada Kaitan Dengan Golongan Pelampau

Diterbitkan: Ahad, 27 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Fahaman Wahabi atau mazhab lain tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan pengganas atau golongan pelampau kerana perbuatan keganasan bukannya berpunca daripada fahaman agama sesuatu kelompok tetapi ekoran penyelewengan fahaman serta pelbagai punca lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, apabila kefahaman terseleweng, mereka mengambil pendekatan yang berbeza daripada orang lain sehingga ada yang sanggup membunuh orang awam dengan bom dan sebagainya.

"Akibat terpesong daripada landasan Islam sebenar, maka berlakulah kejadian orang ramai yang tidak bersalah dibunuh dan dibom," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dewan Huffaz Kebangsaan di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, katanya kerajaan sentiasa memantau keadaan supaya tidak berlaku penyelewengan ajaran Islam kerana ia boleh merugikan negara dan masyarakat. Oleh itu, katanya orang ramai jangan menuduh mana-mana pihak sebagai pengganas atau golongan pelampau melainkan telah dinyatakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sementara itu ketika diminta mengulas keputusan 40 ulama muda menganggotai Umno, beliau berkata ia dapat membantu kerajaan menterjemahkan dan melaksanakan pengertian 1Malaysia kepada masyarakat.

Katanya lagi, ia juga dapat mengikis pandangan pihak tertentu yang selama ini menganggap ulama tidak mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Jumaat lepas 40 ulama muda dari seluruh negara menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan