Dewan Huffaz Kebangsaan Satukan Suara Para Huffaz

Diterbitkan: Ahad, 27 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Darul Quran JAKIM menubuhkan Dewan Huffaz Kebangsaan bagi menyatukan suara para huffaz di negara ini dilihat dapat memartabatkan dan memberi pengiktirafan kepada golongan itu pada masa hadapan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, di samping dapat mengiktiraf profesionalisme para huffaz, penubuhan dewan itu diharap dapat menyatukan semua suara mereka.

"Melalui dewan ini, semua suara para huffaz dapat disatukan di samping kelebihan dan sumbangan mereka kepada umat Islam dapat digemblengkan dengan lebih tersusun dan sistematik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dewan Huffaz Kebangsaan di sini hari ini.

Jamil Khir turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengawal atau mencampuri urusan pentadbiran dan sukatan pengajian madrasah kerana tujuan utama dewan itu diwujudkan untuk menyatukan suara para huffaz dan memartabatkan institusi tahfiz negara.

"Sudah tiba masanya golongan huffaz ini diberi perhatian dan pengiktirafan sewajarnya sejajar dengan sumbangan yang tidak ternilai mereka," ujarnya.

Namun katanya, kerajaan akan terus memainkan peranan dalam memastikan institusi berteraskan Al-Quran akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam.

"Kerajaan menyokong usaha untuk menyediakan pendidikan berteraskan Al-Quran kepada masyarakat kerana jika dilihat kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak ke maahad tahfiz hari ini telah menjadi satu trend.

"Ini menunjukkan ibu bapa dan anak-anak telah terdedah dengan prospek pendidikan dan kepentingan Al-Quran yang bernilai tinggi. Kerajaan harus menyokong penuh," katanya.

Beliau turut memberitahu, penubuhan dewan itu juga telah menjadi salah satu Key Performance Indicator (KPI) jabatannya pada 2010.

Katanya lagi, setakat ini terdapat sebanyak 281 institusi atau madrasah tahfiz di seluruh negara sama ada dibawah kelolaan kerajaan mahupun pihak swasta.

Tambahnya, para huffaz yang telah selesai menghafaz keseluruhan 30 juzuk Al-Quran pula dianggarkan telah mencecah 5,000 ke 6,000 orang di seluruh negara.

"Sebanyak 2,908 telah mendapat syahadah sebagai penghafaz Al-Quran daripada Darul Quran kelolaan JAKIM dan beberapa institusi kerajaan negeri.

"Saya percaya masih ramai lagi yang telah menghafaz kitab suci umat Islam itu cuma mungkin dengan institusi yang tidak berdaftar mahupun secara persendirian," katanya.

Atas dasar itu, Darul Quran JAKIM akan memperkenalkan Sijil Khatam Hafazan yang mana idea asasnya untuk menyelesaikan isu dan ketidakseragaman dari segi syahadah hafazan Al-Quran.

Ujarnya, setiap hafiz Al-Quran yang telah menyelesaikan syahadah mereka di madrasah atau pun melalui institusi yang diiktiraf dan tidak diiktiraf berpeluang untuk menduduki sijil ini bagi membolehkan mereka diberi kedudukan akademik dengan sewajarnya.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, kerajaan akan terus berusaha untuk memantapkan pengiktirafan akademik para huffaz supaya mereka dapat peluang kerjaya dan peningkatan akademik.

"Sistem pengajian para huffaz ada banyak dan tidak seragam di seluruh negara, maka bukan semua para huffaz ini syahadah mereka diiktiraf oleh sistem akademik sedia ada.

"Rancangan untuk menaiktarafkan institusi tahfiz, melahirkan tenaga pengajar berpendidikan sarjana dan doktor falsafah serta menawarkan bidang profesional lain diharap dapat memberi hak dan peluang sama rata kepada golongan itu," katanya.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan