Roboh Pintu Gerbang Taman Botani

Diterbitkan: Sabtu, 26 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Pintu gerbang yang baru dibina di Taman Botani di sini akan dirobohkan tidak lama lagi atas permintaan orang ramai serta bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa pembinaannya tidak mesra alam sekitar.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, keputusan merobohkan pintu gerbang yang bernilai RM150,000 itu dibuat selepas mendapat persetujuan Kabinet.

"Kabinet sebulat suara bersetuju dengan cadangan kementerian untuk merobohkan pintu gerbang itu kerana kita mendengar pandangan dan suara rakyat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pintu gerbang itu akan diroboh setelah agensi terlibat mengadakan perbincangan dengan pihak kontraktor.

Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) berhubung pembinaan pintu gerbang itu, Yen Yen memberitahu, 71 peratus daripada 1,225 responden bersetuju ia dirobohkan.

Menurut beliau lagi, kaji selidik yang dilakukan dari 12 hingga 18 Jun itu merangkumi 63 peratus penduduk Pulau Pinang, 34 peratus pelancong dari negeri lain dan tiga peratus pelancong asing.

Pembinaan pintu gerbang yang termasuk dalam projek menaik taraf Taman Botani itu mendapat bantahan orang ramai termasuk ”Friends of Botanic Gardens” (FOBC) yang dianggotai oleh beberapa NGO atas kepentingan alam sekitar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan