MCKK Perlu Kekalkan Kecemerlangan - Sultan Azlan Shah

Diterbitkan: Sabtu, 26 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang memiliki segala keistimewaan termasuk guru terpilih, kemudahan dan perhatian oleh Lembaga Pengelola yang terdiri daripada alumni terkemuka, perlu memastikan sekolah itu terus berada di tangga teratas kejayaan.

Baginda bertitah, MCKK merupakan satu-satunya sekolah di mana seorang Raja Muda menjadi Pengerusi Pengelola selain Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) dan Yayasan MCKK yang turut memberikan pelbagai sokongan moral dan material demi memajukan dan mengharumkan nama MCKK.

"Dengan segala keistimewaan ini tidak ada sebab bagi MCKK untuk tidak berada di tangga teratas kejayaan malah kegagalan MCKK berada di tangga teratas merupakan satu kekecewaan setelah segala pelaburan, perhatian dan tumpuan diberikan," titah baginda pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah MCKK di sini hari ini.

Baginda bertitah, berada di tangga teratas wajib dijadikan sasaran yang perlu dicapai dengan komitmen pelajar, guru, pentadbir, kakitangan sokongan serta ibu bapa dengan merangkumi segala aspek iaitu akademik, pembinaan sahsiah, kepimpinan dan kokurikulum.

Pelajar MCKK juga wajib bersyukur atas nikmat dan keistimewaan yang mereka perolehi kerana masih ada 72 juta kanak-kanak dalam usia persekolahan di seluruh dunia tidak mempunyai peluang bersekolah, titah Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah, kanak-kanak tersebut memiliki potensi tetapi ditidakkan hak mereka untuk bersekolah disebabkan berada dalam kemiskinan di negara yang tidak memberi keutamaan kepada program pendidikan. Selain itu, baginda bertitah majoriti anak perempuan di negara kurang membangun langsung tidak berpeluang ke sekolah, akibatnya mereka menjadi mangsa kepada permerdagangan manusia yang berakhir di rumah pelacuran dan menjadi mangsa terbesar wabak HIV/AIDS.

Senario itu perlu menjadi pengajaran kepada rakyat di negara ini dan wajib bersyukur dengan negara yang mengambil tanggungjawab untuk memastikan tiada kanak-kanak yang dinafikan hak mereka untuk bersekolah dengan pendidikan disediakan secara percuma selama sekurang-kurangnya 11 tahun, titah baginda.

Sultan Azlan Shah bertitah, sejak negara merdeka, agenda pendidikan sentiasa diberikan keutamaan kerana negara mempercayai kestabilan negara dapat dicapai dengan menambah nilai manusia melalui pendidikan.

"Pada setiap tahun bajet yang besar disediakan untuk program pendidikan begitu juga dalam setiap Rancangan Malaysia yang dirancangkan.

"Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), salah satu daripada 10 premis utama adalah untuk memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul sementara salah satu daripada lima teras strategik menekankan aspek membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia," titah baginda. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan