MCA Cadang Tabung Khas Ditubuh Kutip Hasil Judi

Diterbitkan: Sabtu, 26 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA hari ini mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan tabung khas bagi mengutip segala perolehan dan keuntungan daripada syarikat perjudian berlesen agar ia tidak bercampur dengan pendapatan lain.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, sekiranya tabung itu diwujudkan, ia boleh digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang membawa faedah kepada semua kaum di negara ini.

"Sudah sampai masanya kerajaan membayangkan cukai-cukai kerajaan kutip dari lesen perjudian yang dibenarkan sejak dulu, seharusnya tidak masuk 'consolidated fund'...tabung berlainan ini boleh digunakan untuk pendidikan, kebajikan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad (KSM) di Wisma MCA di sini, hari ini.

Dr Chua mengulas keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesenpertaruhan sukan kepada Ascott Sports Sdn Bhd setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang majoriti daripadanya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan seharusnya sentiasa meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti perjudian haram di kalangan rakyat, khususnya pertaruhan perjudian dalam sukan.

"Pemantauan rapi dan penguatkuasaan terhadap perjudian yang dikatakan illegal atau haram seharusnya dipertingkat kerana perjudian sukan, walaupun tidak dibenarkan, masih boleh berlaku melalui telefon dan internet kerana ia tidak memerlukan lesen," katanya.

Dr Chua turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa masyarakat Cina mengamalkan budaya suka berjudi.

Di KOTA BAHARU, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno berkata, keputusan kerajaan membuktikan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil kira kepentingan semua pihak sebelum memutuskan perkara itu.

Ahmad Zahid berharap isu itu tidak lagi dimanipulasi pihak pembangkang dan menafikan keputusan tersebut dipengaruhi desakan mereka.

Di PUTRAJAYA, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan turut bersetuju dengan pandangan Ahmad Zahid berhubung tindakan kerajaan tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, keputusan itu dibuat bukan hanya disebabkan suara pembangkang, tetapi juga suara akar umbi anggota Umno yang disalurkan ke dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti malam tadi.

"Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat malam tadi, termasuklah usul-usul dari Umno cawangan dan bahagian dari seluruh Malaysia yang sudah bersidang dan sebahagiannya menyatakan ketidaksetujuan dalam perkara ini.

"Kementerian mendengar segalanya, selain daripada peringatan badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain, lalu mengambil keputusan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Rowing dan Hari Keluarga Jabatan Perdana Menteri di Kompleks Sukan Air, Putrajaya hari ini.

Keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan yang diumumkan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia berlangsung, mendapat sokongan golongan yang membabitkan diri dalam sukan tersebut.

Raja bola negara, Datuk Abdul Ghani Minhat, penyerang digeruni semasa eranya sekitar tahun 60-an, berkata keputusan itu adalah yang terbaik dan harus disokong oleh semua pihak. "Apa yang saya risau sebelum ini ialah, jika lesen pertaruhan bola sepak dikeluarkan, ia akan membunuh pembangunan sukan berkenaan di negara ini.

"Kesan negatif akibat perjudian dalam sukan telah kita lihat pada tahun 1994 dan 1995, apabila ramai pemain yang terlibat dengan rasuah hingga menghancurkan sukan bola sepak negara," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata pihaknya akur dengan keputusan tersebut.

"Sebenarnya FAM tidak terlibat dalam isu perjudian bola sepak. Namun, sebagai badan induk yang memayungi persatuan bola sepak di negara ini, kami menyokong keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan