Kerajaan Putuskan Tidak Keluar Lesen Pertaruhan Sukan, Kata PM - Berita Semasa | mStar

Kerajaan Putuskan Tidak Keluar Lesen Pertaruhan Sukan, Kata PM

Diterbitkan: Sabtu, 26 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascott Sports Sdn Bhd.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang jelas menunjukkan bahawa sebahagian besarnya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan.

Najib yang juga Presiden Umno berkata keputusan itu dipersetujui dengan sebulat suara oleh anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat di sini pada Jumaat malam.

"Sejak keputusan kelulusan pada dasarnya telah dibuat dan tinjauan telah dibuat, walaupun ada pihak yang menyokong dan ada pihak tidak menyokong atau menentang, maka setelah mengambil kira semua pandangan ini, jelas kepada kerajaan bahawa sebilangan besar masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut diberikan kepada Ascott Sports.

"Oleh itu, dengan ini saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Najib berkata lesen berkenaan telah bermula pada 1989 tetapi syarikat tersebut telah menyerahkan semula kepada kerajaan pada 1990 kerana mengalami kerugian besar.

Sejak tarikh itu syarikat berkenaan telah mencuba beberapa kali untuk memperbaharui lesen dan baru-baru ini kerajaan telah memberikan kelulusan secara dasarnya berasaskan kepada syarat-syarat tertentu untuk dipenuhi, katanya.

Najib berkata adalah menjadi hasrat kerajaan selama ini untuk mengawal pertaruhan sukan haram yang dikatakan melebihi RM10 bilion di samping menyumbang kepada kegiatan jenayah yang lain dan ancaman sosial dalam negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga mengambil keputusan bahawa orang Islam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dengan kegiatan pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi lembaga pengarah dalam syarikat pertaruhan.

"Syarat ini adalah sesuatu yang begitu tegas yang ditentukan oleh kerajaan," katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu dipersetujui oleh parti komponen Barisan Nasional (BN), beliau berkata kesemua mereka menerima keputusan itu demi kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.

Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa Ascott tidak akan dibayar ganti rugi memandangkan Kementerian Kewangan berhak menarik balik sebarang lesen judi yang dikeluarkan.

Beliau berkata Ascott telah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan mereka memahaminya. - BERNAMA

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan