Dr Asri Isytihar Kekal Ulama Bebas, Tidak Sertai Parti Politik

Diterbitkan: Sabtu, 26 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang diuar-uar akan menyerahkan borang sebagai ahli Umno malam tadi menegaskan beliau tidak menyertai mana-mana parti buat masa ini.

"Ingin saya tegaskan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik.

"Sokongan saya adalah kepada kebenaran dan fakta tanpa mengira batasan parti, kaum atau agama. Itulah prinsip Islam yang adil untuk semua," katanya dalam kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar kira-kirapukul 10.35 pagi ini.

Pada masa yang sama, kata ulama muda itu, beliau menghormati mana-mana pihak untuk melakukan dakwah khususnya dalam parti politik.

"Saya tidak berhasrat untuk membuat kenyataan yang panjang lebar dalam hal ini demi menjaga perasaan sahabat-sahabat saya dan pihak-pihak lain.

"Apa yang penting ialah saya tidak menyertai mana-mana parti politik dan tidak bercadang untuk memilih jalan itu buat masa ini," tegas beliau.

Malam semalam gembar-gembur bekas Mufti Perlis itu akan menyertai Umno tidak menjadi kenyataan apabila beliau tidak muncul pada majlis penyerahan borang keahlian malam semalam sejurus sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .

Sebaliknya yang muncul pada majlis berkenaan ialah 40 orang pendakwah muda yang menyerahkan borang keahlian mereka kepada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam pada itu Ahli MT, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Mohd Asri akan menyertai Umno pada fasa kedua sedikit masa lagi.

"Penyertaan golongan ulama muda ini adalah secara berperingkat...insyaAllah Dr Asri akan termasuk dalam peringkat kedua tidak lama lagi.

"Kita harus ingat, dalam Umno ada dua kategori, yang pertama adalah ahli Umno seperti saya dan yang kedua ialah penyokong Umno... buat masa ini Dr Asri ada dalam kumpulan itu (penyokong)," katanya.

Kesemua ulama muda itu akan didaftarkan menjadi ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka. Selain itu, mengulas lanjut mengenai penyertaan golongan ulama itu, Shahidan berkata, kemasukan mereka ke dalam Umno bukan untuk mengancam mana-mana pihak.

"Kita beri peluang yang besar kepada mereka untuk sebarkan Islam sama ada kepada umat Islam sendiri mahupun kepada yang bukan Islam... mereka bukan untuk mengancam mana-mana pihak.

"Penyertaan mereka akan memberi impak yang besar kepada kepada umat Islam," katanya.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, ketua kumpulan ulama berkenaan, Fadlan Mohd Othman berkata, tujuan mereka menyertai Umno adalah bagi menyemarakan aktiviti dakwah dalam parti itu.

"Kami menyertai Umno bukan berlandaskan politik, tapi dengan tujuan untuk berdakwah...selepas beberapa perbincangan dibuat, kami dapati ada positifnya (sertai Umno) kerana ia lebih kepada bentuk kerjasama," katanya yang juga merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ditanya sama ada kemasukan mereka ke dalam Umno ada kaitan dengan isu Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan golongan ulama, beliau bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Seorang lagi ulama, Penasihat Agama Institut Jantung Negara (IJN), Fathrul Bari Mat Jahaya berkata mereka memilih Umno sebagai medium dakwah berdasarkan janji yang diberikan pemimpin tertinggi parti itu untuk memastikan para ulama dan ilmuan muda meneruskan dakwah.

"Jadi tawaran seperti ini memang dinantikan oleh kumpulan ini, sebagai seorang yang memiliki ilmu, memang menjadi tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat," katanya.

Tambahnya, ia selaras dengan firman Allah dalam al-Quran yang menyeru supaya umatnya keluar mencari ilmu di mana sahaja supaya sekembalinya nanti ke tanahair dapat menyebarkan ilmu yang diperolehinya kepada masyarakat.

"Maka kami yang dibenarkan oleh kerajaan untuk keluar menuntut ilmu di luar negara sehingga ke Mesir, Jordan, Madinah dan sebagainya... kepulangan kami dinanti-nanti oleh masyarakat untuk menyampaikan ilmu.

"Tapi sekiranya berlaku sekatan dalam menyampaikan ilmu, maka pengajian kami selama ini menjadi sia-sia... maka peluang yang diberikan Umno merupakan satu peluang keemasan," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan