Pendakwah Perlu Bebas Pengaruh Ekstrem - Dr M

Diterbitkan: Jumaat, 25 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Pendakwah tempatan perlu bebas daripada pengaruh ekstrem yang merosakkan imej Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata, jika ada pendakwah yang terpengaruh dengan amalan ekstrem seperti yang diamalkan di negara Islam tertentu dan cuba mengembangkannya di negara ini, ia akan menimbulkan masalah.

"Mereka perlu berdakwah secara bijaksana dan sesuai dengan suasana tempatan," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kebangsaan kali ke-49 di sini hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim, berkata kegiatan dakwah berbentuk ekstrem bukan sahaja memburukkan imej Islam malah akan menjadikan umat Islam dipandang rendah dan hina.

"Mungkin ada yang berpendapat kehinaan ini tidak mengapa kerana mereka laksana suruhan agama tapi mereka mewujudkan umat Islam yang tidak bahagia," katanya.

Lebih buruk lagi, kata Dr Mahathir, ada pihak yang berpendapat bahawa keganasan mesti digunakan bagi menjatuhkan kerajaan dengan alasan ia mengikut kehendak Islam.

"Fahaman ekstrem tidak dituntut oleh Islam. Banyak negara Islam tidak aman dan maju kerananya," kata beliau.

Dr Mahathir menang tanpa bertanding bagi kerusi Yang Dipertua Perkim kebangsaan yang disandangnya sejak 2006.

Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman mengumumkan perkara itu semasa mesyuarat agung itu yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Empat orang yang terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Perkim ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Datuk Dr Ariffin Suhaimi, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Dr Mustapha Ma. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan