RM100 Juta Untuk Amanah Wawasan 2020-Bandar Bantu Golongan Miskin Tegar Dan Miskin Bandar

Diterbitkan: Khamis, 24 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar (ASW-2020-Bandar) dengan peruntukan RM100 juta untuk membantu memberi pendapatan tambahan kepada keluarga miskin tegar dan miskin bandar melalui pemberian dividen tahunan dan faedah lain hasil pelaburan itu.

Setiap ketua isi rumah tanpa mengira kaum yang layak serta berdaftar dengan program e-Kasih akan diberikan wang prinsipal pelaburan RM10,000 yang akan tetap menjadi hak milik kerajaan.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata pemberian pelaburan sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu diharap dapat menambah pendapatan golongan berkenaan yang memerlukan bantuan kerajaan.

"Skim saham ini berbeza dengan skim lain di mana mereka yang menerima dividen dan lain-lain pulangan pada tiap-tiap tahun sepanjang hayat mereka.

"Bagaimanapun sekiranya pemegang amanah itu meninggal dunia, maka unit itu akan disampaikan kepada orang lain yang memerlukan lagi," katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Seramai 4,976 ketua isi rumah yang berdaftar dibawah Fasa Satu dan Dua program e-Kasih dikenalpasti layak untuk menerima pelaburan unit amanah itu termasuk 196 keluarga di Wilayah Persekutuan yang menerima buku unit amanah masing-masing pada majlis itu.

Najib berkata kerajaan telah mengenal pasti golongan miskin tegar dan miskin bandar berdasarkan usaha pendaftaran e-Kasih yang diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Di bawah program e-Kasih, pendapatan garis kemiskinan bagi golongan miskin tegar adalah kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia, RM540 bagi Sabah dan RM520 bagi Sarawak manakala golongan miskin pula didefinisikan kurang daripada RM720 di Semenanjung Malaysia, RM960 Sabah dan RM830 Sarawak.

Sehingga 16 Jun 2010, seramai 8,439 ketua isi rumah miskin tegar dan miskin bandar telah berdaftar di bawah e-Kasih.

Najib berkata kerajaan berhasrat untuk mencapai sasaran sifar miskin tegar dan mengurangkan separuh isi rumah miskin keseluruhan daripada 5.7 peratus kepada 2.8 peratus menjelang akhir 2010.

Katanya agenda untuk mengurangkan golongan miskin tegar telah menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah golongan itu yang berdaftar di bawah e-Kasih fasa 1 dan 2 telah berkurangan daripada 50,931 isi rumah kepada 33,417.

"Jumlah golongan miskin tegar ini dapat dikurangkan kerana kerajaan tidak mengambil sikap sebagai negara kebajikan, sebaliknya hanya memberi bantuan sahaja kepada golongan miskin tegar, tetapi bagi golongan miskin, kerajaan menyediakan program-program untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan itu," katanya.

Najib berkata kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan tetapi tidak akan meminggirkan mana-mana kumpulan daripada menikmati pertumbuhan ekonomi negara yang semakin rancak. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan