MASEU: Batalkan Saja Tempahan A380

Diterbitkan: Khamis, 24 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Batalkan sahaja tempahan pesawat A380 kerana menunggu terlalu lama hanya akan mengakibatkan kerugian yang lebih besar kepada Malaysia Airlines (MAS), demikian menurut Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU).

"Pada masa penerimaan pesawat tersebut pada 2012 kelak, merupakan pesawat yang sudah basi dalam industri penerbangan," kata Setiausaha Eksekutif MASEU Mustafar Maarof dalam satu kenyataan pada hari Khamis.

Kesatuan itu berkata MAS perlu menukar strategi perniagaan dan mengelak daripada mengikuti langkah-langkah syarikat-syarikat penerbangan lain di rantau ini.

"MAS boleh beroperasi dengan lebih selesa dan lebih ekonomik dengan membina modus operandi perniagaan mereka sendiri dalam menghadapi saingan sengit di peringkat global," tambahnya.

Airbus sepatutnya menghantar pesawat A380 pada Januari 2007 tetapi sehingga kini penghantaran tersebut ditunda lagi ke awal 2012 dan ini merupakan sesuatu yang tidak munasabah untuk menjalankan perniagaan dalam industri penerbangan.

"Sekiranya MAS masih membuat ketetapan untuk menunggu, maka MAS akan gagal dalam mengemaskini dan merangka pelan dan model perniagaan mereka dalam era baru industri penerbangan," kata Mustafar.

Dari perspektif undang-undang buruh, kesatuan itu berkata pesawat A380 telah mengubah cara dan waktu rehat pekerja-pekerja krew penerbangan di dalam pesawat.

"Setiap penerbangan pesawat tersebut memerlukan krew yang cukup untuk berlepas memandangkan ianya terlalu besar untuk memastikan semua ruang pesawat dipantau bagi menjamin keselamatan penumpang dan pesawat.

"Ini memandangkan peningkatan aspek keselamatan dari segi spesifikasi dan konfigurasi pesawat yang akan menambah beban kerja krew penerbangan dan krew teknikal semasa didalam penerbangan," kata Mustafar.

Pada Isnin lepas, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAS Tengku Datuk Azmil Zahruddin dilaporkan sebagai berkata MAS yang amat kecewa dengan kelewatan berterusan dalam penghantaran pesawat A380 itu, mungkin memilih untuk membatalkan enam tempahannya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan