PDRM, Hospital Antara 10 Agensi Terbanyak Terima Aduan Tahun Lepas

Diterbitkan: Rabu, 23 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM), hospital, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen adalah antara 10 agensi atau jabatan kerajaan yang paling banyak menerima aduan pada tahun lepas.

Turut tersenarai ialah Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pelajaran negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

Dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata jumlah aduan yang diterima 10 agensi itu ialah 3,553 kes atau 41 peratus daripada sejumlah 8,694 kes.

Beliau menjawab soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) mengenai perkara tersebut.

Koh berkata mana-mana agensi yang berurusan secara langsung dengan rakyat lebih berpotensi menerima lebih banyak aduan berbanding agensi lain yang skop tanggungjawabnya lebih terhad.

"Dalam konteks ini PDRM adalah agensi kerajaan yang menerima aduan tertinggi berbanding agensi-agensi yang lain," katanya.

Menurutnya sebagai pelanggan kepada kerajaan, rakyat berhak untuk mengemukakan aduan terhadap sebarang perkhidmatan yang diberikan jika mendapati ia silap, kurang cekap, adil, sesuai atau memuaskan.

Katanya Biro Pengaduan Awam (BPA) yang memudahcara proses menerima dan menyelesaikan aduan daripada orang awam kini meneruskan usaha merapatkan hubungan antara kerajaan dengan orang ramai melalui pelbagai saluran termasuk laman web, perjumpaan, program pro-aktif serta urusan surat menyurat untuk mengemukakan pertanyaan, cadangan dan maklum balas.

"Hasil daripada inisiatif-inisiatif untuk menggalakkan pengaduan, jumlah aduan yang diterima BPA telah meningkat daripada 8,066 kes pada tahun 2008 kepada 12,683 kes pada tahun lepas," kata Koh.

Menurutnya kebanyakan jabatan menunjukkan peningkatan prestasi dalam menyelesaikan aduan-aduan yang diterima.

"Senario ini menunjukkan jabatan dan agensi telah memberikan komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk menyelesaikan aduan-aduan yang diterima selaras dengan komitmen dalam gagasan 1Malaysia iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan