Kerajaan Hapus Lesen Runcit Ayam

Diterbitkan: Selasa, 22 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan untuk memansuhkan perlesenan runcit bagi ayam, besi (bar bulat keluli lembut) dan simen berkuat kuasa 15 Julai depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah pemansuhan berkenaan dibuat selaras dengan tindakan proaktif kerajaan memansuhkan kawalan harga bagi barang-barang tersebut sejak 2008.

"Bagaimanapun kawalan bekalan masih diteruskan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memastikan bekalan dalam negara stabil melalui perlesenan.

"Tapi kita ambil langkah untuk mansuhkan terus lesen bagi barang-barang ini kerana kita tak lagi kawal hargan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Selain itu beliau berkata, harga bagi ketiga-tiga barang berkenaan akan ditentukan oleh pasaran.

"Apabila kita mansuhkan lesen ini, ia akan menguntungkan semua pihak sama ada peniaga mahupun pengguna.

"Contohnya sebelum ini apabila kita kawal harga ayam dan tentukan harga siling, peniaga akan letak harga yang paling tinggi walaupun harga pasaran bagi ayam menurun, jadi apabila tiada lagi kawalan, hargannya akan ditentukan berdasarkan pasaran permintaann," katanya.

Katanya lagi, kerajaan akan memberi fokus kepada tiga barang keperluan asas yang masih dikawal harga dan berkala iaitu gula, tepung gandum dan minyak masak.

Ismail Sabri juga berkata, kementeriannya sedang menyediakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 bagi menggantikan Akta Kawalan Harga 1946.

"Kabinet telah meluluskan akta ini, dan saya jangkakan ia boleh dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada sesi ini... saya harap dalam minggu depan.

"Sekiranya akta ini diluluskan, lesen di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan akan dimansuhkan, ini bermakna lesen di bawah skim ini tidak akan dikenakan ke atas peruncit pada musim perayaan akan datang," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan