Shahrizat Beri Lima Bintang Untuk Bapa di Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 20 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Bapa di Malaysia layak mendapat pengiktirafan lima bintang kerana mereka adalah yang terbaik, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, golongan bapa muda kini tidak malu membantu isteri mereka memasak di dapur, menjaga anak, mengemas rumah dan membasuh pakaian.

"Generasi saya (yang lama) susah hendak cari macam itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, bapa di Malaysia masih layak mendapat penghargaan terbaik walaupun terdapat cerita mengenai lelaki tidak bertanggungjawab, buang anak atau seorang bapa yang tiba-tiba ghaib.

"Jumlah itu, bagaimanapun, kecil berbanding sikap bertanggungjawab dan jiwa pengasih yang ditunjukkan majoriti golongan bapa di negara ini," katanya.

Shahrizat berkata, sambutan Hari Bapa tahun ini memfokus kepada generasi muda kerana daripada sejumlah tujuh juta keluarga di negara ini, 42 peratus terdiri daripada golongan bapa muda.

Beliau berkata, cabaran seorang bapa semakin hebat kerana kebanyakan sistem keluarga kini hanya terdiri daripada seorang ayah, ibu serta anak berbanding dahulu yang turut membabitkan penyertaan datuk atau nenek.

"Ibu terpaksa keluar bekerja, bapa bekerja...kerana itu, bapa hari ini harus menyediakan diri mereka untuk bertanggungjawab, bersedia untuk berinteraksi dan sentiasa cuba menghadirkan diri bersama keluarga," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan