Penjara Pudu Berusia 100 Tahun Akan Diroboh Esok

Diterbitkan: Ahad, 20 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TINGGALAN SEJARAH ... Pejalan kaki melintasi Tembok Penjara Pudu yang dipenuhi dengan mural yang bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu bagi memudahkan pengguna jalan raya pada masa hadapan. Pembinaan laluan bawah tanah ini merupakan alternatif yang menghubungkan Jalan Pudu menuju ke Cheras dan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Jalan Hang Tuah. Mural Penjara Pudu dilukis oleh beberapa banduan yang diketuai oleh Khong Chong Yen dengan menggunakan 2,000 liter cat sepanjang 384 meter dan setinggi 4.5 meter. Ia dilukis pada tahun 1983 dan memakan masa lebih setahun untuk disiapkan dan pernah diiktiraf oleh Guinness Book of Records. Tembok itu akan mula dirobohkan pada waktu malam mulai 20 hingga 23 Jun ini. - Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Tiba detik 10 malam esok, tembok Penjara Pudu di sini yang berusia 100 tahun, setinggi 4.5 meter (m) dan sepanjang 394m yang menghadap Jalan Pudu akan dirobohkan.

Seandainya tembok itu boleh berkata-kata, mungkin ia akan mengatakan bahawa 100 tahun sudah cukup baginya menyaksikan pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis dan kini tiba masa untuk merelakan dirinya tumbang menyembah bumi setelah 14 tahun dilanda kesepian.

Mungkin ia juga akan mengatakan bahawa dirinya yang dahulunya gah dengan mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang terpanjang di dunia, kini sudah tidak tidak bererti lagi.

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.

Tembok penjara yang dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen dan diimport dari negara penjajah Britain, mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 1892. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja bernilai RM15,360.90 (harga pada tahun 1800-an).

Namum begitu, kedudukannya di dalam kawasan segitiga emas Bukit Bintang yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit dan kesesakan arus lalulintas terutamanya di Jalan Pudu menyebabkan bangunan penjara ini tidak lagi dapat dipertahankan dan terpaksa akur pada arus pembangunan.

Justeru, apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail mengumumkan cadangan merobohkan tembok penjara Pudu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu baru-baru ini memberi isyarat bahawa penjara yang menyimpan seribu satu kenangan yang nyata dan misteri itu akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Salah satu bahagian penjara yang banyak melakarkan cerita misteri ialah di Blok D yang menempatkan bilik akhir dan bilik gantung yang menyaksikan 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati di situ dari tahun 1960 hingga 1993.

Penjara berusia lebih seratus tahun ini juga pernah mencatat sejarah hitam yang tersendiri iaitu pada tahun 1985 apabila dua orang awam, Dr Radzi Jaafar dan Dr Abdul Aziz Abdul Majid ditawan oleh enam orang banduan reman yang diketuai Jimmy Chuah. Penawanan berakhir selepas enam hari apabila banduan itu menyerah diri.

Pada tahun 1985 penjara ini juga mencatatkan bilangan banduan yang tertinggi iaitu seramai 6,550 orang pada satu masa yang menyebabkan kesesakan dan memaksa banduan tidur secara bergilir-gilir.

Ekoran itu pada 1996 setelah 100 tahun menabur bakti, Penjara Pudu ditutup dan digantikan dengan Penjara Sungai Buluh, Selangor, 36km dari bandaraya Kuala Lumpur. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan