Mansuh UPSR, PMR: Kerajaan Diminta Buat Kajian Teliti

Diterbitkan: Ahad, 20 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan diminta membuat kajian secara terperinci dan mendapatkan pandangan daripada pihak yang berkepentingan sebelum memansuhkan peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaiaan Menengah Rendah (PMR).

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata Kementerian Pelajaran perlu memastikan bahawa pelajar di sekolah rendah mahir dalam 3M (membaca, menulis dan mengira) sebelum memansuhkan dua peperiksaan awam berkenaan.

"Saya menyokong langkah kerajaan mahu menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR. Namun harus diingat, kementerian perlu pastikan 100 peratus pelajar di peringkat sekolah rendah menguasai kemahiran 3M ini, selepas itu barulah kerajaan boleh mansuhkan dua peperiksaan awam yang dilihat berorientasikan peperiksaan semata-mata.

"Pelajar perlu didedahkan dengan kemahiran seperti membuat kerja kursus yang mampu merangsang minda kerana ia secara tidak langsung mampu melahirkan pelajar yang lebih kreatif dan inovasi,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan bahawa KPM mungkin akan memansuhkan UPSR dan PMR dan mengekalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebagai peperiksaan awam tunggal pada masa hadapan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dilaporkan berkata kerajaan melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Beliau berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Katanya pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Mohamad Ali berkata, sekiranya perkara itu dilaksanakan kementerian perlu mengadakan ujian penilaian yang setanding dengan peperiksaan awam itu bagi menilai pencapaian pelajar di peringkat sekolah.

"Peperiksaan yang dijalankan di sekolah perlu dipantau agar ia selaras dengan standard peperiksaan awam sedia ada.

"Soalan berbentuk objektif perlu dikurangkan kerana ia tidak dapat menilai kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis seseorang pelajar itu," ujarnya.

Beliau berkata dengan mengaplikasikan kaedah itu, ia secara tidak langsung dapat menilai secara menyeluruh sama ada seseorang pelajar itu mampu mengaplikasi apa yang dipelajarinya di sekolah.

"Sekiranya semua perkara ini diambilkira barulah kerajaan wajar menghapuskan kedua-dua peperiksaan awam sedia ada dan kekalkan hanya SPM di peringkat sekolah menengah,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Jais Abdul Karim berkata langkah itu akan dapat memantapkan sistem pendidikan dan seterusnya melahirkan pelajar yang lebih fokus dan tenang.

"Sistem kita hari ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan ini memberi tekanan kepada pelajar dan mereka belajar secara membuta tuli semata-mata untuk lulus peperiksaan tanpa memikirkan sama ada ilmu yang diperolehi boleh digunakan pada masa-masa akan datang," katanya.

Pemansuhan itu juga katanya akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar secara lebih berkesan dan tidak terikat dengan jadual peperiksaan.

Bagaimanapun katanya, pada masa yang sama kementerian wajar mencari kaedah lain yang lebih sesuai untuk mengukur pencapaian pelajar.

Bagi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata pemansuhan PMR wajar dilaksana memandangkan peranan peperiksaan tingkatan tiga itu hanya untuk menentukan aliran yang akan diikuti mereka ketika tingkatan empat.

"Akan tetapi UPSR wajar dikekalkan kerana masih relevan sebagai penarafan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan lebih besredia sebelum memasuki sekolah menengah," katanya.

Pegawai Perhubungan Pesatuan Bekas Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Abdul Karim Abdullah pula berkata pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar dan guru menumpukan perhatian kepada kegiatan kokurikulum dan sukan.

Sebelum ini mereka anggap kegiatan sukan dan kokurikulum mengganggu masa pembelajaran kerana pelajar harus bersedia hadapi peperiksaan, tetapi apabila peperiksaan dimansuhkan kelak pelajar akan ada lebih masa untuk fokus kepada kegiatan kokurikulum dan sukan, katanya.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan