Presiden PKIM Terima Dua Ugutan Bunuh Dua Hari Berturut-Turut

Diterbitkan: Sabtu, 19 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) A.Prakash menerima dua ugutan bunuh dalam dua hari berturut-turut daripada seorang lelaki yang menghubunginya melalui telefon bimbit.

Dua ugutan bunuh itu diterima kira-kira 9 pagi semalam ketika beliau sedang bekerja dan 3.17 pagi tadi dipercayai dari individu yang sama, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata lelaki yang tidak dikenali itu menghubunginya dan memberi amaran supaya beliau tidak terus memburukkan imej kerajaan pakatan pembangkang dan mengadakan sidang media atau menganjurkan piket sekiranya tidak mahu dirinya dibunuh.

"Saya diugut bunuh sekiranya membangkitkan beberapa isu terutamanya kerosakan lif di Pangsapuri Taman Permai Indah, di sini oleh pemanggil berkenaan yang bercakap dalam bahasa Tamil.

Katanya ugutan pertama diterima dari nombor persendirian manakala ugutan kedua datang dari nombor lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pandamaran di sini kira-kira pukul 9.29 pagi ini terhadap ugutan bunuh kedua yang diterima awal pagi tadi.

Jurucakap balai polis itu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan Prakash.

Prakash mendakwa ugutan bunuh itu dipercayai ada kaitan dengan pendedahan yang dibuatnya mengenai kegagalan kerajaan Selangor melaksanakan kerja baik pulih lapan lif di empat blok kediaman itu yang rosak sejak 10 bulan lepas.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Indah berkata turut menerima beberapa ugutan bunuh sebelum ini sejak mendedahkan beberapa isu termasuk kerosakan tandas awam di Jalan Tunku Kelana, pemindahan stesen bas Klang ke Meru dan peruntukan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil di Selangor.

"Jika mereka fikir dengan ugutan bunuh yang seperti kanak-kanak ini akan buat saya diam, mereka silap.

"Mereka boleh ugut bunuh, bunuhlah saya kerana isu ini akan tetap dibangkitkan," katanya.

Prakasah berkata kejadian ugutan bunuh ini tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya apa yang lebih penting adalah membantu rakyat dan melaksanakan janji yang telah dibuat serta terus membela nasib rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan