Dakwah Tidak Dihalang Walaupun Ada Cubaan Sebar Fahaman JI

Diterbitkan: Sabtu, 19 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TASEK GELUGOR: Kerajaan tidak akan menghalang sebarang kegiatan dakwah yang dilakukan oleh kumpulan pendakwah walaupun terdapat kumpulan Jemaah Islamiah (JI) warga asing dikesan cuba menyebarkan fahaman mereka di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kumpulan pendakwah yang ada di negara ini menyebarkan fahaman Islam dengan cara yang betul dan tidak mempunyai unsur kekerasan dan militan.

"Kumpulan (pendakwah) yang ada dalam negara adalah kumpulan yang bergerak dengan betul dan menyumbang kepada kebaikan dan tidak ada kaitan dengan JI.

"Jangan ada salah tanggapan terhadap kumpulan ini yang akan menyebabkan persepsi negatif. Kita cuma pantau kumpulan yang ada hubungan dengan negara luar dan mempunyai agenda bersifat kekerasan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 210 murid sekolah rendah agama yang kurang berkemampuan di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai langkah kerajaan bagi memastikan kegiatan dakwah di negara ini tidak dipengaruhi oleh gerakan JI.

Jamil Khir berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dalam usaha membendung gerakan JI daripada bertapak dan menyebarkan fahamannya di negara ini.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dilaporkan berkata kumpulan JI warga asing dikesan cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut golongan remaja di negara ini termasuk penuntut Iinstitusi Pengajian Tinggi (IPT).

Perkara itu terbongkar ekoran penahanan 10 anggota JI sejak awal tahun ini dan mereka telahpun diusir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan