Parlimen Batu: SPR Kaji Keputusan Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Jumaat, 18 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji implikasi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan denda ke atas Ahli Parlimen Batu dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM2,000.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, keputusan tersebut boleh menyebabkan kerusi Parlimen itu diisytiharkan kosong sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan.

"Buat masa ini penasihat undang-undang kami sedang mengkaji tafsiran keputusan Mahkamah Tinggi.

"Pihak kami akan melihat sama ada had denda RM2,000 yang diputuskan oleh hakim itu termasuk atau tidak dalam menentukan status kerusi Ahli Parlimen Baru,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengurangkan denda ke atas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua atas kesalahan menyebabkan kecederaaan kepada seorang anggota polis pada tahun 2007.

Mengikut perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pihaknya akan mengumumkan mengenai kedudukan wakil rakyat PKR itu setelah penasihat undang-undang selesai membuat tafisran terhadap kes itu.

“Buat masa ini kita harap semua pihak bersabar dan beri sedikit ruang kepada SPR untuk mengkaji perkara ini. Kita akan umumkan kepada media bila tiba masanya,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman penjara enam bulan ke atas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang kerana mencederakan anggota polis pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha turut mengurangkan jumlah hukuman denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah didapati bersalah mencederakan anggota polis pada 11 Disember 2007.

Tian Chua, 47, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini pada 10.45 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada pilihan raya umum ke-12, Mac 2008, Tian Chua menang kerusi Parlimen Batu menewaskan calon Barisan Nasional dari parti Gerakan, Lim Si Pin dengan majoriti 9,445 undi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan