Bukan Masa Tunjuk Bukti Ahli PKR Ditawar RM2 Juta : Anwar

Diterbitkan: Jumaat, 18 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicabar menunjukkan bukti bahawa anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti ditawar RM2 juta seperti yang didakwanya berkata, beliau tidak akan membuat demikian buat masa ini.

Katanya, beliau hanya akan mengemukakan bukti setelah kerajaan mengambil tindakan terhadap isu-isu lain yang telah dikemukakannya.

"Saya akan keluarkan (bukti) pada ketikanya, saya akan tetapkan masanya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen ketika diminta mengulas cabaran Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim supaya beliau membuktikan dakwaan kononnya wakil rakyat PKR telah ditawarkan RM2 juta untuk lompat parti.

Zahrain adalah antara beberapa wakil rakyat daripada PKR yang keluar daripada parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap Anwar yang merupakan penasihat PKR.

Mengenai satu lagi dakwaan Zahrain kononnya beliau cuba menyembunyikan skandal penyebaran video seks melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR, Anwar menafikan pernah menonton atau memiliki video itu. "Nak layan apa, saya tidak ada video itu. Kalau saya ada saya akan dedahkan. Tetapi tiada buktipun bahawa saya ada. Dia tidak patut buat ini, ia tidak beretika dan tidak boleh diterima," katanya.

Zahrain yang turut mengadakan sidang media selepas itu berkata penafian Anwar itu tidak mengejutkannya.

"Kalau dia nak nafi, biasalah, itu dia punya kelebihan. Saya sanggup bersumpah yang Anwar pernah kata dalam satu taklimat bahawa dia bukan sahaja pernah tengok gambar tapi video (wanita) itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan