Panggilan Tune Talk Percuma Esok

Diterbitkan: Khamis, 17 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sempena meraikan bilangan pengguna yang hampir mencecah 1 juta, penyedia telekomunikasi kos rendah Tune Talk menghadiahkan kesemua para pelanggannya dengan panggilan percuma selama 24 jam ke mana-mana nombor Tune Talk pada 18 Jun 2010 iaitu esok.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Lo berkata, sebagai syarikat baru pihaknya amat teruja kerana berjaya mengumpulkan 1 juta pelanggan walaupun Tune Talk mensasarkan jumlah itu hanya mampu dicapai menjelang ulang tahun pertamanya, Ogos ini.

"Kami berusaha memberikan para pelanggan tawaran terbaik dan setakat ini Tune Talk merupakan pakej pra-bayar paling mudah di negara ini dengan kadar rata 16 sen seminit ke mana-mana nombor tempatan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Bagi memeriahkan lagi sambutan, Tune Talk melaksanakan pertandingan isian semula kredit (Top Up) dengan menawarkan ganjaran lumayan melancong ke London untuk dua orang bernilai RM30,000 bagi pelanggan yang membuat isian semula paling banyak sepanjang Jun.

Sementara itu, menerusi peraduan harian di stesen radio Era, THR Raaga, Hitz.fm dan MY.fm radio stations, Tune Talk turut menyediakan pakej pelancongan ke Bali untuk pendengar bertuah sehingga 26 Jun ini.

Pada masa sama bagi tempoh terhad mulai 19 hingga 21 Jun, Tune Talk memberikan bonus sebanyak 20 peratus untuk semua jumlah isian semula kredit sama ada RM5, RM10, RM30, RM50 atau RM100.

"Ini adalah cara kami menghargai para pelanggan, juga rakan-rakan lain yang ingin menyertai Tune Talk dan menikmati kadar rendah di mana-mana sahaja.

"Lebih-lebih lagi, pelanggan boleh berjimat lebih 50 peratus dari bil telefon bimbit mereka dengan Tune Talk," tambah Lo.

Pelanggan Tune Talk boleh memilih membuat isian semula menerusi portal www.tunetalk.com, mesin ATM dan perkhidmatan perbankan internet Maybank, CIMB, RHB dan EON Bank selain terminal e-Pay, premis 7-Eleven atau wakil pengedar sahnya di seluruh negara.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan