Urus Tadbir Baik: SC Bertindak Ke Atas Pak Ak

Diterbitkan: Rabu, 16 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari memperolehi injunksi untuk menghalang Datuk Ishak Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Ak' iaitu bekas pemegang saham utama Kenmark Industrial Co (M) Bhd daripada mengurus RM10.2 juta daripada keuntungan pelupusan sahamnya kira-kira 58.7 juta dalam syarikat itu baru-baru ini.

Urus tadbir baik telah menjadi isu yang hangat diperkatakan dalam media massa baru-baru ini berikutan apa yang telah berlaku dalam pergolakan lembaga pengarah Kenmark sehingga mendorong ramai pihak menuntut SC bertindak mengembalikan urus tadbir yang telah tercemar itu dan melindungi kepentingan pemegang saham minoriti.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata Mahkamah Tinggi di sini juga memerintahkan Ishak menyerahkan butiran penuh dan lengkap mengenai asetnya di Malaysia atau di mana jua dalam tempoh empat hari.

SC berkata, suruhanjaya itu telah memohon injunksi itu berikutan siasatan ke atas Ishak yang didakwa telah melanggar undang-undang sekuriti dan urus tadbir baik.

Sementara itu, siasatan sedang dijalankan mengenai kemungkinan pelanggaran undang-undang sekuriti dalam Kenmark, khususnya yang berkaitan dengan lembaga pengarahnya sebelum itu, pengurusan dan pemegang saham utama, kata kenyataan itu lagi.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kenmark berkata, syarikat itu tidak mempunyai identiti pemegang saham baharu yang menguasai syarikat setelah Ishak bukan lagi pemegang saham utama.

Kenmark berkata, syarikat telah memohon Bursa Depository supaya mendapatkan Rekod Depositor terbaru dan akan mengumumkannya apabila maklumat itu diperolehi kelak.

Bagi operasinya di Pelabuhan Klang, Kenmark berkata, para pekerjanya telah kembali melaporkan diri untuk bertugas seperti biasa dan operasi di bahagaian kayunya telah disambung semula dan pengurusan bahagian itu berusaha untuk memenuhi pesanan tertunggak.

Bagi bahagian cetakan, Kenmark berkata pengurusan bahagian itu kini membuat penilaian peralatan dan jentera untuk membolehkan syarikat itu memenuhi penghantarannya.

Kenmark juga berkata, Pengarah Eksekutifnya Ho Soo Woon telah mengunjungi premis perniagaan itu di Vietnam dan mendapati peralatan dan jentera di sana berada dalam keadaan baik.

Rundingan sedang berlangsung dengan pembekal dan para pembiaya untuk menyambung semula operasi di Vietnam sebaik sahaja mereka dapat berbuat demikian, katanya. Sementara itu, Ishak Ismail yang berasal dari Permatang Pauh, Bukit Mertajam pernah menyandang jawatan bendahari dan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Permatang Pauh selama beberapa tahun sewaktu Anwar Ibrahim menjadi ketuanya.

Beliau juga pernah memiliki kepentingan dalam KFC Holdings.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan