Konvensyen BN November Bagi Kukuhkan Parti

Diterbitkan: Rabu, 16 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Najib semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN. Foto BERNAMA
Najib semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi membuat keputusan untuk mengadakan konvensyen parti bagi membincangkan beberapa pembaharuan secara serius demi meneruskan kesinambungan pemerintahan negara.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, konvensyen berkenaan akan diadakan November ini sebaik sahaja Perhimpunan Agung Umno seleasai diadakan.

Sehubungan itu, katanya, kesemua anggota komponen akan melakukan percambahan fikiran dan cetusan idea baru serta mencadangkan langkah-langkah yang difikirkan wajar bagi memastikan BN terus relevan.

“Dalam konvensyen yang akan datang kita membentangkan beberapa pembaharuan pada BN sebagai sebuah parti.

“Semua cadangan ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan yang akan diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,” katanya pada sidang media selepas hampir tiga jam mempengerusikan mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi BN di sini.

Hadir sama ialah kesemua pemimpin tertinggi komponen parti.

Najib berkata langkah mengadakan konvensyen itu jelas menunjukkan BN bersedia untuk terus memimpin negara dan tidak bersandar kepada kejayaan terdahulu.

Ujar beliau, Dewan Tertinggi BN turut membincangkan mengenai situasi ekonomi negara dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang dibentangnya di Parlimen minggu lalu.

“Saya ambil kesempatan ini untuk menerangkan apakah ciri-ciri utama fokus dan falsafaha disebalik halatuju baru yang berpaksikan kepada Model Ekonomi Baru (MEB) yang diterjemahkan dalam RMK-10,” katanya

Perdana Menteri berkata, Dewan Tertinggi turut bersetuju untuk memberikan penerangan yang jelas mengenai RMK-10 dan MEB kepada pihak yang berkepentingan supaya mereka dapat memahaminya dengan jelas.

“Mesyuarat bersetuju supaya setiap parti komponen BN mengadakan program dan penyelesaian bersama antara satu sama lain supaya isu-isu RMK-10 tidak dikaitkan dengan satu-satu parti komponen sahaja,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh bahawa undang-undang anti lompat parti perlu digubal dan diperkenalkan, Najib berkata:

"Hari ini orang dia pula lompat. DAP lompat, baru sekarang dia nak bunyi. Masa dia curi orang kita, tidak ada pula dia berbunyi."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan