Sindiket Gores Dan Menang Kembali Aktif

Diterbitkan: Selasa, 15 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sindiket gores dan menang yang diperangi habis-habisan sejak beberapa tahun lepas kini dikesan kembali aktif dengan mensasarkan pelajar kolej sebagai mangsa penipuan mereka.

Kebanyakan mangsa baru ialah pelajar yang berusia dalam lingkungan 20an dan hanya perlu menggores untuk memenangi pelbagai hadiah yang dijanjikan namun perlu menyerahkan sejumlah wang atau barangan peribadi untuk menuntutnya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, modus operandi mereka kali ini sama seperti apa yang pernah dilaporkan berlaku cuma sindiket ini menukar pejabat operasi dan kawasan mencari mangsa.

"Sasaran mereka masih sama iaitu wanita, cuma kali ini pelajar kolej kerana mereka tahu mangsa mempunyai wang hasil pinjaman dan mudah terpikat dengan tawaran mudah memenangi hadiah.

"Namun seperti biasa selepas memberikan wang, mangsa tidak memperoleh hadiah yang ditawarkan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Sejak beberapa tahun lepas pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan dan persatuan politik dilaporkan memerangi sindiket penipuan itu bagi menyedarkan masyarakat tentang gejala gores dan menang ini.

Chong berkata, sebanyak 52 kes penipuan dilaporkan pada tahun lepas melibatkan kerugian RM254,630 dengan 70 peratus mangsanya adalah wanita manakala jumlah kerugian tertinggi yang dicatatkan adalah RM56,000 bagi satu kes.

Namun masyarakat seolah-olah tidak serik apabila tahun ini sahaja, sebanyak 18 kes dengan kerugian sebanyak RM80,850 membabitkan 11 wanita dilaporkan, katanya.

"Apa yang dikesalkan ialah walaupun beratus kali sidang akhbar, laporan polis atau membawa perkara ini ke Tribunal Tuntuan Pengguna Malaysia dilakukan, namun pengguna masih lagi tidak serik dan tidak sedar akan kewujudan sindiket ini," katanya.

Dalam kejadian terbaru petang semalam, seorang guru wanita, 54, menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit apabila dijanjikan akan memenangi tilam berkualiti tinggi dan dapur digital.

Katanya, selepas menyerahkan wang sebanyak RM4,000 mangsa diberikan resit palsu dan diberitahu akan diberikan hadiah yang dimenanginya namun menyedari dirinya telah ditipu.

Beliau berkata, mangsa kemudian bersama-sama Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Wilayah Persekutuan Bernie Chin ke pejabat sindiket terbabit di Jalan Kuchai Lama dan bersekemuka dengan beberapa ahli sindiket itu.

"Selepas perbincangan, mangsa dipulangkan semula wangnya dan pihak kami akan mengambil tindakan terhadap sindiket terbabit tidak lama lagi," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 28 Julai 2017 8:18 PM

Tautan Kasih Siti Saleha & Lutfi

Jumaat, 28 Julai 2017 3:00 PM

Zahid Terpaksa Kerja Keras!

Jumaat, 28 Julai 2017 12:24 PM

Atmosfera Tak Cukup Popular?

Jumaat, 28 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: Najwa Latif - KAMU

Khamis, 27 Julai 2017 3:00 PM

Aksi Separuh Bogel Tu Kisah Lamalah!

Khamis, 27 Julai 2017 12:30 PM

Mal Imran Artis Bermusim?

Khamis, 27 Julai 2017 9:00 AM

Panas! Hisyam Hamid & Aaron Aziz Bergaduh?

Rabu, 26 Julai 2017 3:46 PM

Saya Bukan Artis Murahan! - Elvina

Kolumnis

iklan

Iklan