Najib Arah Kementerian Selesaikan Isu Pelesenan Dengan Peruncit

Diterbitkan: Selasa, 15 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dapat menyelesaikan dengan para peruncit isu berhubung pengeluaran lesen runcit untuk menjual gula, tepung gandum dan minyak masak.

Perdana Menteri berkata, beliau telah meminta kementerian itu berunding dan menyelesaikan perkara itu dengan Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia yang memboikot untuk menjual barang kawalan itu mulai esok.

"Kita tak mahu membebankan mereka cuma tujuan kerajaan adalah untuk menyekat dari segi ketirisan barang-barang dan sebagainya dan juga hendak memberi tumpuan kepada peruncit kawasan sempadan sebab di situ banyak dibawa keluar ke negara lain," katanya.

Najib diminta mengulas mengenai isu itu selepas majlis perjumpaan dengan guru-guru Kafa peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Mengenai kenaikan harga barangan yang turut menjejas golongan berpendapatan sederhana, Najib berkata kerajaan akan mengambil kira kepentingan semua pihak terutama yang berpendapatan rendah.

"Jika kita nak bagi subsidi, kita kena tentukan ia sampai ke kumpulan sasaran dan kebanyakan subsidi disalah guna dan ini membebankan rakyat," katanya.

Sementara itu, KPDNKK berkata, pemegang lesen runcit hanya perlu menyimpan invois atau resit pembelian yang dikeluarkan oleh pembekal.

Semua peruncit yang menjual ketiga-tiga barang kawalan itu dinasihatkan supaya memperoleh lesen tersebut sebelum 1 Julai.

"Pelesenan runcit ini bertujuan memastikan bekalan barangan tersebut sentiasa ada dan memudahkan rakyat memperolehnya," kata kenyataan kementerian itu.

Lesen runcit itu yang sah untuk tempoh lima tahun diberi percuma dan dikeluarkan dalam tempoh sehari. Permohonan lesen itu boleh dibuat di mana-mana pejabat PDNKK dan peruncit diminta membawa bersama lesen perniagaan.

Di KUALA LUMPUR, tinjauan di sekitar Keramat, Kampung Baru dan Sentul mendapati tiada masalah bagi pembeli untuk mendapatkan bekalan gula dan peruncit berkata mereka dapat menjual seperti biasa.

Tinjauan di Perlis, Pahang, Johor, Pulau Pinang, Terengganu dan Melaka juga menunjukkan tiada boikot penjualan gula.

Para pengguna di Perlis membeli gula seperti biasa di premis-premis perniagaan dan kebanyakannya tidak menyedari wujudnya pemboikotan itu.

Ketua Unit Bekalan KPDNKK Perlis Khairul Anuar Mohd Azmi berkata, pihaknya sentiasa memantau perkara itu bagi memastikan bekalan gula tidak terjejas.

Di MELAKA, terdapat pasar raya yang mengehadkan pembelian 2kg gula untuk sebuah keluarga supaya lebih ramai pengguna memperoleh bahan itu.

Pengarah KPDNKK Melaka Mior Najmuddin Mior Dzulkifli berkata, berdasarkan pemantauan anggotanya, tiada pasar raya dan kedai runcit di seluruh negeri ini yang memboikot penjualan gula. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan