Kerajaan Cadang Wajibkan Guru Bahasa Cina Dan Tamil Di Sekolah Kebangsaan

Diterbitkan: Isnin, 14 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mewajibkan guru-guru Bahasa Cina dan Tamil disediakan di sekolah-sekolah kebangsaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Muhyiddin berkata, sekolah kebangsaan memang sudah ada dasar untuk menyediakan guru-guru tersebut supaya kelas-kelas POL (bahasa ibunda pelajar) dapat dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah kebangsaan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pembelajaran bahasa ibunda memang termaktub dalam dasar kementerian tetapi ia masih belum dilaksanakan sepenuhnya lagi di sekolah kebangsaan.

"Bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris memang penting tetapi bahasa ibunda juga harus kita pelajari untuk memudahkan komunikasi," katanya ketika merasmikan Konvensyen Parti Progresif Rakyat (PPP) Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan Presiden PPP Datuk M. Kayvaes supaya kerajaan mempertimbang menjadikan pembelajaran bahasa ibunda berkenaan sebagai subjek wajib di sekolah.

Dalam ucapan aluan pada majlis itu, Kayvaes turut menggesa kerajaan supaya mengkaji semula sistem pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang.

Muhyiddin berkata, kerajaan sedar akan pentingnya pelajar mempelajari bahasa ibunda, kerana selain untuk tujuan menimba ilmu, langkah itu mampu meningkatkan persefahaman antara kaum di negara ini selain membolehkan sesuatu kaum lebih menghayati nilai, seni dan budaya kaum lain.

Mengenai isu biasiswa, Muhyiddin berkata kerajaan akan meneliti hal itu supaya mereka yang cemerlang tidak diabaikan.

Katanya, pelajar perlu diberikan peluang untuk belajar ke peringkat universiti sama ada menerusi biasiswa atau bantuan pinjaman pelajaran.

"Ini telah dibangkitkan dalam Kabinet. Kita akan meneliti untuk memperbaiki keadaan tersebut," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan dan pembangunan di sekolah, khasnya sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan, sekolah agama rakyat dan sekolah mubaligh.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk menanggung kos utiliti di semua empat kategori sekolah itu. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan