Dakwaan Adun Umno Lompat Parti Di Perak Propaganda Pembangkang

Diterbitkan: Isnin, 14 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJUNG MALIM: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan dakwaan parti pembangkang di Perak bahawa ada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan lompat parti adalah satu propaganda yang sengaja direka untuk menunjukkan suasana tidak stabil.

Beliau berkata Umno tidak perlu terpengaruh dengan 'rentak tarian' pembangkang yang suka mereka-reka cerita kerana ia boleh merencatkan pembangunan negara dan yang lebih penting dilakukan anggota parti ialah dengan terus menumpukan kepada uasaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Ini merupakan propaganda mereka (pembangkang). Kalau tidak stabil, ia tidak mudah untuk kita membangunkan mana-mana negeri pun," katanya kepada pemberita selepas menutup Hari Potensi Tabika Kemas peringkat kebangsaan di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang di sini hari ini.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak bahawa terdapat tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu akan melompat parti adalah taktik sama dengan apa yang berlaku di Kedah.

Beliau berkata pembangkan sengaja mereka-reka cerita supaya dapat mempengaruhi rakyat agar tidak yakin dengan kepimpinan Umno. "Seperti juga "16 September ke Putrajaya" yang diuar-uarkan namun sampai sekarang tidak sampai. Ini gimik politik pembangkang untuk menyemarakkan perjuangan kerja mereka kerana mereka tidak ada kerja lain. Mereka akan cari apa juga cara dan kaedah untuk politik mereka," katanya.

Sementara itu beliau berkata kementeriannya akan membuka 2,500 kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam tempoh tiga tahun mulai tahun ini.

Katanya RM500 juta akan diperuntukkan bagi tujuan itu dan daripada jumlah tersebut RM98 juta telah diperuntukkan untuk membuka 500 kelas tahun ini.

Pembukaan kelas tabika itu diutamakan di kawasan luar bandar dan pedalaman supaya ia dapat mengimbangani jurang pendidikan dengan kawasan bandar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan