PAS Di Persimpangan Jalan?

Diterbitkan: Ahad, 13 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Apakah sebenarnya pendirian PAS berhubung pengundi bukan Melayu? Beberapa penganalisis politik berhujah bahawa parti, yang diasaskan oleh golongan ulama Islam, kini sudah semakin mendapat sokongan bukan Melayu sejak pilihan raya umum terakhir diadakan pada Mac 2008.

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata: "Bertahun-tahun lamanya pilihan adalah jelas. Jika anda mahu menjadi lebih Islamik, anda pilih PAS."

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan itu membataskan PAS hanya di kawasan orang Melayu beragama Islam iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu dan beberapa kawasan luar bandar.

Menyedari akan keterbatasan yang dihadapi untuk mendapatkan sokongan, PAS pada tahun-tahun kebelakangan ini berusaha mendekati pengundi bukan Melayu dan bukan Islam, kata Wong.

Beliau berkata strategis parti itu kini mengambil jalan tengah untuk "menyeimbangkan semula parti" dengan menggunakan pendekatan "negara kebajikan" dan "PAS untuk semua" yang disasarkan kepada masyarakat umum.

"Secara dalamannya, PAS telah digambarkan sebagai parti yang mewakili golongan ulama manakala daripada segi luarannya ia boleh membenarkan budaya atau autonomi agama bagi minoriti, asalkan ia tidak mengancam atau menggugat komitmen terhadap Islam," kata Wong.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian sebaliknya menyatakan bahawa PAS kini berada di persimpangan.

Katanya parti itu mengambil risiko meminggirkan penyokong tegarnya jika ia terlalu memberi perhatian kepada pendekatan jalan tengah.

"Penyokong kuat parti, yang selama ini berada bersama-sama parti tidak akan menyukainya. Tidak dinafikan, ia telah berjaya memenangi hati orang bukan Melayu dan bukan Islam, tetapi ia kini berhadapan risiko besar meminggirkan penyokong kuat parti," katanya.

Dr Sivamurugan berkata PAS sebenarnya belum lagi dapat menangani konflik dalaman dan pergeseran pendapat di kalangan dua kumpulan utama dalam parti tentang bagaimana PAS harus melangkah ke hadapan.

Katanya wujud konflik antara puak konservatif, terutamanya golongan ulama dan golongan sederhana atau kumpulan profesional.

"PAS tidak menangani masalah ini habis-habisan tetapi hanya mengambil pendekatan bermusim seperti jalan tengah bagi mewujudkan situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak. Jika ini berlarutan, PAS akhirnya akan bergantung kepada pengundi bukan Melayu.

"Ia akan menjadi satu masalah besar kepada matlamat dan ideologinya adalah ke arah sebuah negara Islam. Pastinya, parti ini berada dalam dilema," katanya.

Beliau berkata adalah tidak mengejutkan apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan meminda perlembagaan parti bagi membolehkan bukan Islam menjadi anggota penuh PAS tetapi bersedia untuk meletakkan mereka sebagai calon pilihan raya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan At-Tantawi menjelaskan bahawa usaha untuk menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPS) tidak akan menjejaskan sokongan masyarakat Melayu.

Katanya PAS mensasarkan untuk meningkatkan sokongan orang Melayu sebanyak 15 hingga 20 peratus dan pemimpin pusat parti itu akan mengadakan pertemuan selepas muktamar tahunan yang sedang diadakan memuktamadkan strategi.

PAS dilaporkan telah mendapatkan khidmat penyelidik pendapat awam untuk mengenal pasti perkara yang menjadi kebimbangan orang Melayu, terutamanya di bahagian pantai barat dan selatan Semenanjung dengan harapan untuk menembusi kawasan yang menjadi kubu kuat Umno.

Namun, usaha itu bukanlah suatu yang mudah kerana PAS kini bersaing dengan Perkasa, sebuah badan yang memperjuangkan hak Melayu pimpinan Datuk Ibrahim Ali, yang semakin mendapat sokongan sejak ia ditubuhkan pada 2008. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan